PAS KECAM KEGAGALAN INSTITUSI PENGUATKUASAAN NEGARA

SHAH ALAM – Pas mengkritik kegagalan institusi penguatkuasaan negara untuk bertindak secara berdikari dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) telah memulakan pendakwaan sivil terhadap individu yang dikaitkan dengan 1MDB, namun pihak penguatkuasaan negara ini berkata isu masih di peringkat siasatan.

“Skandal ini sudah lama berlaku. Macam mana boleh siasatan dalam negara terhadap kes yang berlaku di dalam negara lebih lambat daripada siasatan di luar negara? Tidak malukah kita? Bukankah ini menghakis keyakinan rakyat?

“Bila siasatan dalaman negara terhadap isu 1MDB akan selesai, bila laporan audit 1MDB akan didedahkan dan bila Jho Low (ahli perniagaan terkenal) akan disoal siasat?” soalnya.

Menurutnya, pihak yang diharapkan rakyat untuk bertindak dalam isu 1MDB telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kes untuk didakwa.

“Cuma Bank Negara Malaysia sahaja yang menyatakan bahawa mereka tiada kuasa untuk melakukan pendakwaan terhadap 1MDB, bukan ia tiada kes.

“1MDB bertegas bahawa wang mereka tidak hilang, masih ada samad ada dalam bentuk aset atau pelaburan. Namun DOJ menyatakan berlaku pengubahan wang haram bersumber dari dana 1MDB. Siapa yang betul?” soalnya lagi.

Beliau berkata, disebabkan pihak berkuasa negara ini gagal bertindak, rakyat perlu menunggu perbicaraan di mahkamah AS.

“Jangan pula nanti ada yang tidak percaya kepada keputusan di mahkamah AS. Jangan kita rasa adil bila hanya ia sesuai dengan kehendak kita, manakala kalau berlaku sebaliknya kita menentang dan menyatakan ia tidak adil,” katanya.

Jelasnya, kegagalan institusi penguatkuasaan negara ini menyiasat dan bersikap telus membuka ruang kepada pihak lain yang sudi menyiasat skandal 1MDB.

“Contohnya, laporan audit terhadap 1MDB kini masih diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mudahnya menolak kes 1MDB dan berkata ia di bawah siasatan polis. Polis pula berkata kes ini sedang disiasat tanpa ada tempoh waktu yang tetap untuk menyiapkan siasatan.

“Sehingga hari ini, Peguam Negara pula tetap berkata tiada bukti sedangkan bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz telah mengesahkan bahawa denda yang dikenakan kepada badan dan institusi kewangan yang melanggar peraturan Bank Negara dalam kes 1MDB mungkin adalah yang tertinggi dalam sejarah,” katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, kegagalan mana-mana sistem seperti demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa dan seluruh institusi penguatkuasaan mendedahkan negara kepada situasi bahaya iaitu kehilangan keyakinan rakyat.

“Apabila semua tempat rakyat mengharapkan keadilan bagi membela nasib mereka telah hilang, tidak pelik sekiranya siapa sahaja yang dianggap dapat membantu mereka akan disanjung dan didokong.

“Pendek kata, kegagalan kerajaan atau kerakusan kerajaan yang merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem negara adalah pembuka pintu kepada pihak asing mengambil peluang terlibat dalam urusan sesebuah negara,” katanya.

Mengambil contoh sejarah sebahagian besar negara Islam, beliau berkata, campur tangan di Mesir, Iraq, Libya, Algeria dan Sudan membuktikan kerajaan bermasalah akan membuka peluang buat pihak asing.

“Dengan pelbagai alasan mereka termasuklah untuk menyalurkan bantuan atau dokongan bagi menyelesaikan masalah dan kemelut dalam negara.

“Disebabkan menemui jalan buntu terhadap sistem negara yang tidak lagi berfungsi seperti sepatutnya, maka ada rakyat yang akan menerima bantuan tersebut tanpa mengetahui mereka mungkin sebenarnya mendedahkan negara kepada bahana jauh lebih buruk,” katanya.

Justeru, beliau mendesak agar sebuah Suruhanjaya Diraja yang turut disertai pihak pembangkang diwujudkan bagi menyiasat dan membentang ‘kertas putih’, berhubung isu 1MDB.

“Isu ini perlu diselesaikan di dalam negara secepat mungkin supaya tiada pihak yang boleh mengambil kesempatan ke atas isu ini,” katanya.

– SH

.