PAS JOHOR BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP DR MAHATHIR

PAS Johor hari ini membuat laporan polis terhadap Dr Mahathir Mohamad berhubung ucapannya yang mengaitkan parti itu dengan peristiwa Memali.

Laporan dibuat Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Johor Shamsudin Jaafar di Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, petang ini.

Shamsudin berkata kenyataan Dr Mahathir, Pengerusi Bersatu ketika berucap pada perhimpunan agung pertama parti tersebut di Shah Alam, dua hari lepas, adalah bersifat jahat dan fitnah besar terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Tun Dr Mahathir sekali lagi cuba mengaitkan peristiwa berdarah yang berlaku di Memali dengan Amanat  Hadi.

“Tun Dr Mahathir juga pada kali ini cuba mengaitkan mufti sebagai punca berlaku peristiwa berdarah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan dengan diiringi Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Hussein.

Shamsudin  berkata Dr Mahathir tidak  wajar membuat tuduhan tanpa bukti terhadap Presiden PAS dan mufti.

Sehubungan itu, PAS menggesa polis mengambil tindakan segera terhadap beliau.

“PAS bimbang dengan kenyataan jahat dan fitnah itu boleh menyebabkan orang Melayu khususnya akan berpecah belah, para mufti tidak dihormati dan semua yang terlibat dalam peristiwa Memali akan bermusuhan,” katanya.

Parti itu menggesa  kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi peristiwa itu supaya rakyat mengetahui kejadian sebenar.

– Bernama

.