PAS gesa Mujahid tak gopoh ‘tempelak’ mufti

PAS membidas kenyataan pemimpin serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH) yang meminta mufti tidak menggunakan kedudukan dalam menjatuhkan hukum berkaitan urusan undang-undang.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata, kenyataan Naib Presiden AMANAH Datuk Mujahid Yusof Rawa terhadap Mufti Wilayah Persekutuan “sangat dangkal”.

“Saya sarankan agar Dr Mujahid Yusof meneliti semula pandangan Mufti dan tidak gopoh dalam membuat kenyataan berbaur paranoid.

“Sedangkan orang awam pun memberikan pandangan, ini kan pula mufti memberikan pandangan hasil daripada informasi yang digarap daripada pelbagai aspek,” kata Nasrudin.

Sinar Online melaporkan AMANAH mengingatkan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri agar tidak menggunakan kedudukan dalam menjatuhkan hukum wajib atau tidak berkaitan urusan undang-undang.

Mujahid dilaporkan berkata, kenyataan Zulkifli itu dibuat dengan tidak melihat secara menyeluruh kerana Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 masih belum diperincikan di Dewan Rakyat.

Zulkifli melalui siri “Bayan Linnas” (penjelasan isu semasa) meminta anggota parlimen Islam dan bukan Islam menyokong pindaan yang mahu dibentangkan oleh anggota parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sesi akan datang.

Dalam kenyataan hari ini, Nasrudin berkata, pandangan Zulkifli sangat dialu-alukan kerana ia bukan berdasarkan politik kepartian, tetapi demi “memperkasakan ‘taqnin’ syariah dan Mahkamah syariah”.

“Tanpa merujuk kepada aspek legislatif pun, sekurang-kurangnya menyokong tekad untuk mentaqninkan syariah di Malaysia adalah satu kewajipan bagi mereka yang beriman,” katanya.

Nasrudin juga berkata, sesuai dengan kedudukan sebagai mufti, sudah pasti pendapat dilontarkan Zulkifli mengambil kira kepentingan agama dan umat Islam seluruhnya.

“Sebagai seorang angggota parlimen Islam di Malaysia, roh untuk memartabatkan Islam dalam konteks legislatif sentiasa hidup, malah kita mesti sentiasa menghulurkan kerjasama bagi merealisasikan hasrat tersebut.

“Jangan terlalu berfikiran sempit dengan hanya memikirkan untung rugi politik parti semata-mata.

“Asasnya kita semua wajib menyokong dan bersama-sama memperbaiki jika terdapat kekurangan teknikal dan prosedural. Inilah jiwa besar negarawan Islam. – M’kini

.