PAS GESA KERAJAAN HENTI PASANG AES

SHAH ALAM – Keputusan Kementerian Pengangkutan untuk memasang 100 unit kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tahun depan, tidak wajar diteruskan kerana ia tidak mencapai objektif yang dikehendaki.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, tindakan kerajaan untuk meneruskan penambahan pemasangan AES hanya akan menjadi jerat kepada pengguna jalan raya untuk berdepan tindakan saman, sedangkan ia gagal mendidik orang ramai lebih berhemah, selain menurunkan kadar kemalangan.

“Menerusi Ops Selamat 11 yang dijalankan selama 11 hari bermula 18 Jun lalu, dilaporkan jumlah kemalangan jalan raya bertambah kepada 17,147 berbanding tahun lalu, sebanyak 15,527 bagi tempoh sama dengan peningkatan 10.4 peratus.

“Berdasarkan fakta semasa ini, sasaran untuk menurunkan kadar ini sebanyak 50 peratus menjelang 2020 dilihat mustahil untuk dicapai dengan pelaksanaan AES,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, sebanyak 100 kamera AES akan dipasang di lokasi strategik di seluruh negara pada tahun depan.

Sehubungan itu, Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, kerajaan perlu menarik semula kelulusan yang telah diberikan sebelum ini bagi pemasangan 1,200 unit kamera AES di seluruh negara.

“Malah kerajaan juga digesa agar buat kajian mengenai keberkesanan pelaksanaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) yang menggabungkan AES dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara).

“Kajian ini mestilah melibatkan semua pihak, termasuk pengguna dan dibentangkan kepada awam bagi mendapatkan maklum balas ke arah penambahbaikan,” katanya.

– SH

.