PAS DICABAR SERTAI HIMPUNAN BERSIH 5

IPOH – Pas dicabar menyertai Bersih 5 jika serius untuk mengadakan kerjasama dengan parti pembangkang bagi menghadapi PRU14.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, perkara tersebut ditekankan kerana Pas antara parti yang menolak penganjuran himpunan berkenaan sebelum ini.

“Kalau benar-benar serius (bersama), Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin perlu arahkan ahli parti di semua peringkat hadir pada 19 November nanti di Dataran Merdeka.

“Kehadiran itu akan menghilangkan persepsi bahawa mereka kurang serius seperti sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, Hashim menegaskan Pas bersetuju dengan konsep satu lawan satu yang dikemukakan pakatan pembangkang bagi menumbangkan BN pada PRU14.

Bagaimanapun, Hashim mengingatkan kerjasama itu tidak akan dipersetujui sekiranya berlaku campur tangan pihak luar mengenai akidah dan agama Islam.

Mohammad Nizar berkata, beliau juga tidak menolak persetujuan Pas untuk mengadakan kerjasama itu disebabkan kelemahan pentadbiran dan penurunan sokongan rakyat.

“Mungkin Hashim respon untuk satu lawan satu disebabkan kajian yang mendapati Pas mungkin tumbang di Kelantan, penolakan sokongan rakyat. Ditambah lagi dengan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355,” katanya.

SINAR HARIAN

.