PAS CADANG DR M ‘CERMIN MUKA’ DULU

PAS mengingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad, BN kekal berkuasa hingga kini disebabkan sistem berat sebelah yang diamalkan bekas perdana menteri itu.

Kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man Umno dan masalah yang ada padanya kini juga adalah merupakan hasil didik Dr Mahathir.

Katanya sejak berdekad-dekad lalu PAS melihat Umno sebagai sebuah parti perompak dan penyamun, termasuk ketika ia diketuai Dr Mahathir. Dan PAS, kata Tuan Ibrahim, konsisten melawan Umno sejak sekian lama.

“Untuk makluman Tun (Mahathir), Umno dilihat sebagai perompak dan penyamun ini bukanlah baru sekarang. Dari dulu lagi PAS berlawan kerana pelbagai kerosakan yang dilakukan Umno, BN di negara ini.

“Malah di zaman Tun, Umno sudah pun menjadi perompak dan penyamun cuma Tun tidak sedar.

“Sudah berdekad lamanya sejak merdeka PAS melawan Umno. Di zaman Tun, kamilah (PAS) yang lawan Tun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siapa konsisten, siapa pusing U

Kenyataan Tuan Ibrahim itu dibuat sehari selepas Dr Mahathir mendakwa PAS lebih mementingkan permusuhan dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP berbanding kepentingan bangsa, agama, tanah air dan untuk menyingkirkan kerajaan kleptokrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam tulisan di blognya, pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu turut berkata sejak PAS tertubuh, tiada satu perjuangan parti Islam itu yang dapat dicapai.

Ketika dijemput untuk menyertai gabungan parti pembangkang bagi menentang Datuk Seri Najib Razak pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, Mahathir mendakwa PAS turut meletakkan syarat yang akan memecah serta mengurangkan undi HARAPAN dan akan memberi kemenangan pada BN.

Kata Tuan Ibrahim sukar untuk dinafikan bahawa PAS adalah pembangkang utama kepada Umno sejak sebelum merdeka sehingga kini.

Pada masa sama katanya Dr Mahathir kini merasai “peritnya menjadi pembangkang” hanya selepas dua tahun meninggalkan Umno dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Bekas pensyarah itu berkata bagi PAS, menurunkan Najib tidak cukup untuk menyelesaikan masalah di negara ini, tetapi apa yang diperjuangkan partinya itu adalah untuk menggantikan sistem korup dan rasuah dengan dasar Islam untuk keselamatan negara serta rakyat berbilang kaum.

Sehubungan itu, katanya, tuduhan Dr Mahathir yang mendakwa PAS menyokong Umno kerana kecewa tidak mahu bersama HARAPAN adalah tidak wajar memandangkan perjuangan PAS tidak pernah berubah.

“PAS tidak gentar. Serangan-serangan ini menunjukkan betapa paniknya Tun dan HARAPAN pada kebangkitan sokongan PAS ketika ini.

“PAS akan terus melawan Umno di PRU ke-14 seperti PRU lain yang lalu.

“Kalau nak tuduh PAS perosak, lihatlah cermin dulu siapa yang konsisten, siapa yang U-turn,” ujarnya lagi.

– M’kini

.