PAS BUKAN PARTI YANG DIPANDU WARKAH DARI PENJARA

Sebagai sebuah parti politik yang sudah berpengalaman, PAS tidak memerlukan “warkah dari penjara” untuk mengajar selok-belok bidang itu, kata seorang pemimpinnya.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Azman Ibrahim berkata apa yang diperlukan untuk berpolitik ialah “warkah dari Allah dan rasul” untuk mengajar mengenai laluan yang perlu dipilih.

Dalam kenyataan jelas menyindir PKR itu Dr Azman juga menegaskan PAS bukanlah sebuah parti yang pandai berbelit-belit.

Menggambarkan PAS sebagai sebuah parti yang memiliki tokoh berjiwa besar, Dr Azman menyatakan tanpa mereka Datuk Seri Azmin Ali tidak akan dapat duduk di kerusi menteri besar Selangor seperti sekarang.

“Tanpa jiwa besar pemimpin PAS yang membelai dan mengasuh bayi PKR dengan penuh kesabaran selama ini, PKR tak akan mampu berada dalam kedudukan seperti sekarang,” katanya.

Dr Azman juga menasihati PKR agar mengawal agar perbalahan dalaman tidak terdedah kepada umum.

“Malu kokram (malu ke orang)!” katanya dengan loghat Terengganu.

Islam terjaga atau tidak

PKR kini mengalami krisis apabila tindakan sebahagian pemimpinnya berunding dengan PAS menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak disenangi kumpulan yang lain.

Menegaskan usaha berunding itu bukanlah inisiatif Azmin sendiri, kumpulan yang menyokong rundingan itu menyatakan langkah itu turut mendapat restu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di pihak yang menentang – diketuai Naib Presiden PKR Rafizi Ramli – mereka menuntut supaya suatu kongres khas diadakan bagi memuktamadkan pendirian sebenar parti dengan PAS.

Anwar kemudian mengeluarkan kenyataan bagi mengulas perkembangan itu pada 2 September lalu.

Rundingan itu diusahakan ketika PAS terus mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang dianggap memperkecilkan PKR. Malah parti itu turut menyatakan rancangan mereka meletakkan calon di kerusi yang sedang diwakili PKR ketika ini, termasuk Permatang Pauh.

Turut disasarkan PAS ialah kerusi parlimen Gombak yang disandang Azmin, Lembah Pantai (Nurul Izzah Anwar) dan Batu (Tian Chua). Nurul Izzah dan Tian adalah naib presiden PKR.

Dr Azman berkata dalam dalam apa juga rundingan, syarat PAS ialah kepentingan Islam mesti dijaga.

“Jaga Islam maka perkara lain akan terjaga. Abaikan Islam maka kita akan lihat betapa kucar-kacirnya semua urusan,” katanya.

– M’kini

.