PAS: Bersih 5.0 terpesong daripada agenda asal

KOTA BHARU – Pas memutuskan parti itu tidak menyertai himpunan Bersih 5.0 kerana menganggap ia terpesong daripada agenda asal.

Setiausaha Agong Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu juga tidak dapat menerima tindakan peserta dalam himpunan terdahulu yang memijak gambar pemimpin Pas.

“Kita dijemput untuk hadir dalam mesyuarat dan wakil kita menjelaskan kepada penganjur yang kita tidak akan sertai mereka, antara  alasannya ialah kerana perjuangan himpunan ini sudah lari fokus asal.

“Pas juga yakin kalau arwah Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih ada, beliau selari dengan ketetapan parti. Kita masih ingat lagi apa yang dilakukan Bersih 4.0 dulu, gambar pemimpin Pas dipijak. Ia satu penghinaan dan sekarang mereka datang untuk pujuk pula. Apa jaminannya?,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin turut memberitahu, Pas ada menerima surat daripada Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dan dalam surat tersebut turut dinyatakan kekesalan berkenaan dengan tindakan memijak gambar pemimpin Pas itu.‎

Sinar Harian

.