PAS BERA BAKAL BERTANDING TIGA KERUSI

BERA – Besar kemungkinan akan berlaku pertandingan tiga penjuru atau lebih dalam PRU akan datang apabila Pas Bera mengeluarkan kenyataan untuk bertanding di tiga daripada empat kerusi dalam kawasan Parlimen Bera.

Yang Dipertua, Musaniff Abd Rahman berkata, mereka bakal meletakkan calon di kerusi Parlimen Bera, Dun Guai dan Dun Kemayan manakala bagi kerusi Dun Triang masih dalam perbincangan serta menunggu arahan dari Pas Pusat.

Menurutnya, mereka sudah bersedia untuk menghadapi situasi tersebut walaupun perlu ‘berperang’ bersendirian tanpa bantuan sokongan dari mana-mana parti politik yang lain di sini.

“Sebelum ini, Pas Pusat telah menetapkan pendirian bahawa kita tidak akan bersama dengan Pakatan Harapan kerana wujud beberapa perbezaan pendirian dan pandangan dalam banyak perkara.

“Jadi, untuk PRU akan datang ini, kita tidak akan bergabung tenaga dengan mereka. Sebaliknya, kita telah bersedia bertanding secara adil dan demokrasi demi memperjuangkan misi parti Pas ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Musaniff berkata, keadaan ini sudah pasti dilihat agak merugikan kerana akan berlaku pecahan undi, namun Pas percaya, ada pengundi berbangsa orang Melayu atau yang beragama Islam akan terus mengundi parti ini.

Katanya, menerusi Kembara Pas Teraju Pahang yang menjelajah beberapa perkampungan di sini, baru-baru ini akan dapat memberikan impak positif kepada masyarakat terutamanya pengundi untuk memberi peluang dan kepercayaan kepada kepimpinan Pas.

“Kita pernah menang di kerusi Dun Guai sebelum ini, dan tidak mustahil, kita masih mampu untuk menang sekali lagi bukan sahaja di kerusi itu, tapi juga dua kerusi yang lain. Kita bukan sahaja mahu menakluki Bera, malahan seluruh negeri Pahang ini,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, meskipun statistik peratusan pengundi bukan Melayu menunjukkan penurunan, namun masih terdapat kira-kira 20 peratus yang kekal menyokong Pas.

– Sinar Harian

.