PAS BANTAH ACARA ARAK TERBESAR DI KUALA LUMPUR

PAS menentang keras acara bir yang dijadualkan berlangsung bulan depan, menyifatkannya sebagai parti maksiat, lapor The Star Online hari ini.

“Kami tidak bersedia membenarkan Kuala Lumpur dikenali di seluruh dunia sebagai pusat maksiat terbesar di Asia,” kata Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Riduan Mohd Nor.

“Apa jaminan keselamatan yang diberikan kepada orang awam yang tidak akan ada jenayah, seks bebas, rogol dan sebagainya?

“Sangat dikesalkan yang Malaysia dipilih untuk festival bir ini walaupun penganjur mengatakan yang ia untuk orang bukan Islam selain mempromosikan pelancongan,” katanya.

“Better Beer Festival” akan dilangsungkan pada 6 dan 7 Oktober dan penganjur menjangkakan kehadiran 6,000 orang.

Riduan mendakwa kebencian masyarakat kepada aktiviti tidak bermoral perlu diberikan perhatian serius berbanding dengan hanya sekelompok kecil yang mahu memuaskan nafsu mereka.

Katanya lagi, acara seperti itu mungkin menyebabkan tindakan pelampau yang “tersinggung” dengan acara itu.

Susulan itu Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Ti Lian Ker mengkritik PAS kerana tidak menghormati kebebasan orang bukan Islam seperti termaktub dalam perundangan negara.

“PAS tidak sepatutnya mempermudah masalah sosial dengan hanya memilih acara tertentu dan mengatakan ia boleh menyebabkan tindakan tidak bermoral, jenayah dan keganasan.

“Jumlah anak tidak sah taraf, misalnya lebih tinggi di Kelantan berbanding negeri lain, jadi ia menunjukkan yang moraliti dan kadar jenayah tidak disebabkan hanya satu atau dua acara tertentu.

“Apa yang mereka lakukan adalah satu bentuk ugutan. Semangat Malaysia yang berdasarkan toleransi dan selaku pemimpin kita sepatutnya mengalakkan dan mengamalkannya, berbanding mengeluarkan pandangan yang melampau,” katanya ketika dihubungi The Star Online.

– https://www.themalaysianinsight.com

.