PAS AJAK RAKYAT TOLAK PARTI PENGKHIANAT

SHAH ALAM – Pas mengajak rakyat menolak parti dan mana-mana pihak yang mahu merungkai asas Perlembagaan tersebut.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia boleh dianggap sebagai pengkhianat negara yang wajib disingkirkan oleh rakyat.

“Rakyat perlu singkirkan mereka ini sama ada melalui pilihan raya atau tindakan undang-undang yang berani demi menyelamatkan negara dan rakyat.

“Sepatutnya Peristiwa Hitam 13 Mei 1969 jangan diulang lagi, begitu juga ruang campurtangan asing yang berlaku di negara lain oleh pihak yang menjemput mereka hendaklah dihalang lebih awal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah bersabar lebih daripada setengah abad sejak negara mencapai kemerdekaan lagi.

“Walaupun dalam keadaan pasang sehingga berjaya memerintah negeri dan penah menyertai kerajaan pusat dan paling surut sehingga ditendang keluar daripada kerajaan dan jatuh kerajaan negeri dan tinggal satu kerusi di Parlimen laksana bertongkat paruh sahaja, namun semangat Pas seluruhnya terus mara bersama Islam.

“Pas terus mempersembahkan kepada rakyat hidangan penyelesaian Islam dalam mentadbir negara,” katanya.

Menurutnya, Pas tetap istiqamah, berdiri dan menuju ke arah Islam tanpa berganjak daripada dunia sehingga akhirat.

‚ÄúSila lakukan penilaian terhadap semua kerajaan negeri dan pusat dengan perbandingan yang jujur dan ikhlas,” katanya.

– Sinar Harian

.