PAS ADA STRATEGI BARU MENANG 3 PENJURU

PAS sudah ada strategi untuk memenangi pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang terutamanya bagi kerusi campuran yang akan ditandingi oleh calon bukan Melayu daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Menurut sumber, PAS berharap akan mendapat sokongan pengundi Melayu di kerusi yang mempunyai lebih 40% pengundi Melayu tetapi ditandingi oleh calon bukan Melayu daripada BN dan PH.

“PAS yakin, dengan sokongan akar umbi, jentera dan sentimen anti Cina khasnya DAP yang dimainkan oleh mereka sekarang, kawasan sebegini akan dimenangi oleh calon PAS dalam PRU akan datang,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insight.

Sumber itu menambah, sekurang-kurangnya tiga negeri iaitu Selangor, Perak dan Wilayah Persekutuan mempunyai banyak kerusi yang memenuhi ciri-ciri itu, berdasarkan komposisi pengundi mengikut kaum dan calon pada PRU13 yang lalu.

Jika strategi PAS ini berjaya, PKR bakal hilang banyak kerusi kerana kebanyakan kerusi yang disasarkan oleh PAS itu sebelum ini dimenangi oleh calon bukan Melayu PKR.

“Mungkin menyedari hakikat inilah, PKR masih berusaha sehingga kini untuk berbaik-baik dengan PAS,” kata sumber itu.

Di Selangor, kerusi-kerusi itu termasuk kawasan Parlimen Selayang yang ada 45% pengundi Melayu, Petaling Jaya Selatan (40%), Subang  (48%) dan Kapar (51%) serta kerusi Dewan Undangan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan (39%), Sungai Pelek (45%) dan Sri Andalas (39%).

Empat kerusi Parlimen itu semuanya dimenangi oleh calon bukan Melayu daripada PKR manakala kerusi-kerusi DUN itu pula dimenangi dua oleh DAP dan satu oleh PKR.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula, kerusi-kerusinya adalah Batu (44%) dan Wangsa Maju (53%). Pada PRU13, kedua-dua kerusi itu dimenangi oleh PKR.

Di Perak, kerusi yang memenuhi ciri-ciri yang dikaji oleh PAS adalah Parlimen Gopeng (43%) dan DUN Kuala Sepetang (63% Melayu). Kedua-dua kerusi ini juga dimenangi oleh calon bukan Melayu daripada PKR.

Pada PRU13, badan pembela hak Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) meletakkan calon Melayu bertanding di kerusi calon bukan Melayu menggunakan tiket Berjasa, antaranya di Parlimen Selayang, Batu dan Kuala Sepetang.

Isma bukan saja kalah teruk malah hilang wang pertaruhan kerana tidak mempunyai sokongan akar umbi serta tidak ada jentera.

Menurut sumber, PAS sebaliknya ada apa yang Isma tidak ada.

Pada 1999, PAS melaksanakan strategi ini di kawasan DUN Bandar di Kuala Terengganu dengan meminta rakannya dalam Barisan Alternatif (BA) ketika itu, DAP agar turut bertanding melawan calon BN dari MCA.

Hasilnya calon PAS, Harun Jusoh menang mengalahkan calon MCA dan DAP dalam pilihan raya itu.

PAS juga dikatakan sudah mula menggerakkan bakal calonnya untuk bergiat aktif memperkenalkan diri di kawasan-kawasan berkenaan.

Di Selayang, exco kerajaan negeri Selangor yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Selayang, Zaidy Talib disebut-sebut bakal diletakkan sebagai calon parti Islam itu pada PRU14 nanti.

Beliau merupakan penyandang kerusi DUN Taman Templar, yang terletak dalam kawasan Parlimen Selayang, yang dimenangi dengan majoriti 7,467 dalam PRU13.

Kempennya kini dikatakan tidak hanya terhad di kawasan DUN Taman Templar tetapi juga kelihatan di kawasan DUN Rawang dan DUN Kuang, dua lagi kawasan DUN di bawah kawasan Parlimen Selayang.

Dalam pilihan raya lalu, calon PKR, William Leong Jee Keen menang dengan majoriti 17,864 apabila mendapat 52,287 undi berbanding calon BN dari MCA Lim Siang Chai (34,441) dan calon Berjasa Mohd Hazizi Bin Ab. Rahman (4,152).

PAS juga dikatakan bakal meletakkan Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamad Yusof bertanding di kawasan Parlimen Batu pada PRU14.

Kerusi ini dulunya dimenangi oleh Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang atau Tian Chua yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama sebulan sejak akhir bulan lalu.

Pada PRU13, Chua menang dengan majoriti 13,284 apabila mendapat 41,672 undi mengalahkan calon BN daripada Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai (28,388) dan calon Berjasa, Hashim Abdul Karim (949), serta dua calon Bebas, Nazariah Abbas (209)  dan Atan Jasin (164).

Di Perak, kerusi yang menjadi sasaran dan mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki oleh PAS adalah Parlimen Gopeng dan DUN Kuala Sepetang.

Di Parlimen Gopeng, calon PKR, Dr Lee Boon Chye menang dengan majoriti 15,309 mengalahkan calon BN daripada MCA, Tan Chin Meng.

Calon PKR Chua Yee Ling menang di Kuala Sepetang mengalahkan calon BN daripada MCA dengan majoriti 758 undi.

Calon Berjasa, Zainal Abidin Bin Abd Rahman hanya mendapat 430 undi.

– https://www.themalaysianinsight.com

.