Parti Shafie, Muhyiddin bakal kerjasama?

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mungkin bekerjasama dengan parti politik yang akan ditubuhkan semula oleh bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Sabah.

Kata Ketua Kluster Politik, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, kerjasama itu didorong oleh hubungan baik yang terjalin antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohd Shafie.

“Semua orang tahu yang Muhyiddin dan Mohd Shafie ada hubungan baik. Saya rasa untuk pilihan raya akan datang, kedua parti itu akan bekerjasama untuk memenangi hati pengundi di Sabah,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kerjasama yang mungkin terjalin antara kedua parti itu.

Mohd Shafie dilaporkan mengesahkan beliau telah mengambil alih sebuah parti politik di Sabah yang ditubuhkan sejak 2013.

Parti tersebut kini dalam proses pembaharuan dan permohonan untuk pertukaran nama dan logo serta telah dihantar kepada Pejabat Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Mohd Shafie bagaimanapun enggan mendedahkan nama baharu serta nama parti yang telah diambil alih itu bagi menghormati beberapa pihak dan pengumuman hanya akan dibuat selepas mendapat kelulusan daripada ROS.

Cabaran buat Umno, BN Sabah

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan BN dan Umno Sabah untuk tidak pandang rendah terhadap kredibiliti Mohd Shafie.

Ini kerana menurutnya, Mohd Shafie merupakan ahli politik yang popular dan dikenali di negeri di Bawah Bayu itu.

“Beliau orang lama dalam politik Sabah dan tahu tentang selok-belok di negeri itu. Jangan ambil ringan terhadap Mohd Shafie dan parti baharunya.

“Umno sebaliknya perlu terus melipat-gandakan usaha di Sabah untuk mengekalkan kuasa di sana kerana negeri itu pernah diterajui oleh seorang pemimpin politik yang berpengalaman,” katanya lagi.

Apa Mohd Shafie perlu lakukan?

Menurut Mohamed Mustafa, Mohd Shafie perlu pantas mengatur langkah sulung dengan memperkenalkan partinya itu kepada masyarakat Sabah. Jelasnya lagi, ia perlu dilakukan sebaik sahaja proses pembaharuan parti itu selesai dan diluluskan oleh ROS.

“Di Sabah sudah ada rekod yang parti-parti baru boleh diterima baik oleh rakyat Sabah.

“Mohd Shafie tentunya mempunyai pelbagai alasan untuk kucar-kacirkan Umno dan BN di Sabah. Jadi jangan pandang rendah terhadapnya,” ujarnya lagi.

– Sinar Harian

.