Parti Pribumi Bersatu Malaysia Diluluskan

Seratus empat puluh satu tahun lalu, Dewan Cina di Istana Besar Johor Bahru menjadi tempat sidang istana untuk sultan memutuskan hal ehwal negeri.

Kini setelah 65 tahun tidak berlangsung, ia akan digunakan kembali pada 21 September ini, sekali gus menimbulkan spekulasi akhbar-akhbar Cina bahawa terdapat usaha mengembalikan pemerintahan beraja mutlak.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan anggota exco Johor, Tee Siew Kiong yang menegaskan jamuan anjuran Sultan Ibrahim Iskandar dengan pemimpin persatuan-persatuan Cina semata-mata untuk bertukar pandangan.

Jelasnya, baginda tidak mempunyai hasrat untuk menghidupkan semula sidang diraja seperti yang didakwa oleh beberapa laporan berita.

“Ini (untuk menghidupkan semula sidang diraja) adalah semata-mata huraian kata-kata mereka.

“Ia hanya sebuah jamuan, mesyuarat untuk bertukar-tukar pandangan,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam.

Tee, exco yang bertanggungjawab terhadap pelancongan, perdagangan dalam negeri dan kepenggunaan Johor, menegaskan jamuan itu tiada kaitan dengan tindakan memulihkan sistem monarki mutlak.

50 pemimpin masyarakat

Seramai 50 pemimpin masyarakat Cina Johor diundang ke acara itu. Majlis itu pertama kali diumumkan oleh Tee, yang juga adalah penyelaras utama, Ahad lalu.

Dewan Cina adalah tempat di mana almarhum Sultan Abu Bakar bersidang setiap hari Rabu pada abad ke-19, untuk membincangkan hal ehwal utama negeri itu, kata Tee seperti dilaporkan.

Menurut akhbar Cina, Sultan Abu Bakar memulakan majlis jamuan itu di Dewan Cina untuk masyarakat Cina pada tahun 1875.

Sejak itu, Almarhum Sultan Ibrahim Abu Bakar, iaitu moyang Sultan Ibrahim Iskandar, turut menganjurkan acara yang sama pada tahun 1923, 1930, 1933, 1935 dan 1951.

Enam puluh lima tahun kemudian, jamuan akan datang akan menjadi yang ketujuh sejak 1875.

Hidupkan tradisi

Sementara itu, Tee juga berkata, jamuan itu bertujuan menghidupkan semula tradisi sejarah negeri Johor.

“Kami tidak fikir tentang perkara ini (memulihkan monarki). Matlamat kami adalah untuk menghidupkan semula tradisi sejarah.

“Jamuan seumpama ini telah diadakan sejak 141 tahun lalu. Ini adalah baik untuk masyarakat dan rakyat negeri ini.

“Kita mesti menghidupkannya semula supaya generasi muda kita memahami sejarah dan ia mampu membawa kesan positif untuk pembangunan masa depan negeri ini,” katanya.

Menurut Tee, pemimpin masyarakat Cina dan dirinya juga mencapai kata sepakat bagi mengadakan jamuan itu, sebelum ia diberikan perkenan oleh baginda.

“Kami mencapai kata sepakat dengan pemimpin masyarakat Cina. Saya membangkitkan perkara ini dengan sultan dan baginda memperkenankannya.

“Baginda berpendapat bahawa majlis itu adalah peristiwa yang bermakna,” katanya.

Bincang politik? Terpulanglah…

Tee berkata, mesyuarat itu akan membincangkan, antara lain, mengenai konsep ‘bangsa Johor’ dan cara menggalakkan perpaduan dan pembangunan ekonomi Johor.

Ketika ditanya sama ada akan terdapat sebarang perbincangan mengenai politik, beliau berkata ini terpulang kepada hadirin.
Menurut Tee, Sultan Johor telah bersetuju dengan cadangannya untuk menghidangkan makanan dari lima suku loghat Cina dan akan juga terdapat persembahan tradisional.

Beliau juga berkata bahawa peserta akan memakai pakaian tradisional Cina.

“Pakaian tradisional Cina diminta oleh sultan kerana mereka adalah pakaian simbolik Cina,” katanya. – M’kini

.