PAPAGOMO LUNASKAN BAYARAN HAMPIR RM1 JUTA BUAT ANWAR

Penulis blog Papagomo hari ini melangsaikan bayaran hampir RM1 juta – yang diarah mahkamah ke atasnya – buat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan tindakan itu dia yang mempunyai nama sebenar Wan Muhammad Azri Wan Deris terselamat daripada diisytihar muflis oleh mahkamah.

Papagomo membuat bayaran berkenaan selepas kalah dalam perbicaraannya apabila dia disaman Anwar empat tahun lalu.

Mahkamah mengarahkan dia membayar RM951,260.27 kepada bekas timbalan perdana menteri berkenaan.

Bayaran itu dibuat melalui draf bank dan wang kertas bernilai RM1 di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Husna Dzulkifli.

Menggelarkannya sebagai saman fitnah terbesar dibayar dalam negara ini, Papagomo berkata draf bank itu bernilai RM950,000 manakala baki RM1,260.30 dibuat secara tunai antara wang kertas RM1 dan wang syiling.

“Sepatutnya RM951,260.27 tapi saya derma tiga sen lagi,” katanya kepada media.

Papagomo dikatakan mengambil masa tiga bulan untuk mengumpulkan jumlah yang mencukupi bagi membayar saman berkenaan.

Kebanyakan sumbangan itu didakwa datang daripada anggota Umno di Wangsa Maju.

Papagomo diwakili peguam Irna Shahana Shamsudin manakala Latheefa Koya J Leela bertindak sebagai peguam Anwar.

Pada 2013 Anwar memfailkan saman fitnah ke atas Papagomo dan menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta ekoran siaran beberapa imej lucah didakwa kononnya ahli politik terbabit bersama seorang lelaki lain.

Setahun kemudian Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Papagomo bersalah memfitnah Anwar dan mengarahkan dia membayar ganti rugi sebanyak RM800,000.

Keputusan itu dibuat hanya dua bulan selepas identiti sebenarnya didedahkan walaupun dia menafikannya.

– M’kini

.