PANTUN “ANAK CINA” PANASKAN ADUN DAP JOHOR

SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kecoh apabila rangkap pantun “Anak Cina memasang lukah” yang dibacakan Adun Barisan Nasional (BN) itu dituduh menimbulkan sentimen perkauman tebal oleh wakil rakyat DAP.

Ketika membahaskan Bajet Johor 2018, Ali Mazat Salleh (BN-Bukit Permai) mengungkapkan beberapa rangkap pantun yang antaranya menyebut “Anak Cina memasang lukah, lukah dipasang di Sungai Senai, mulut busuk bila bermadah, tuduhan jahat buruk perangai.”

Berikutan itu, beberapa Adun DAP bangkit membantah mendesak Speaker Dewan Negeri Johor Tan Sri Mohamad Aziz mengarahkan Ali Mazat keluar dari dewan.

Yeo Tung Siong (DAP-Pekan Nanas) menggesa Mohamad Aziz menghalau Ali keluar kerana pantunnya itu berbaur perkauman.

“Teruk betul Bukit Permai, tolong halau keluar daripada Dewan, cakap macam perkauman,” kata Yeo.

Selain Yeo, Tan Hong Ping (DAP-Mengkibol) dan Gan Peck Cheng (DAP-Penggaram) juga turut melahirkan ketidakpuasan hati.

Ali berkata, beliau berhak mengungkapkan pantun tersebut mengikut kehendaknya namun Mohamad menasihatkan Ali untuk berhenti melantunkan pantun itu dan meneruskan ucapannya.

Menyambung ucapannya itu, Ali menukar rangkap pantunnya dari “Anak Cina” kepada “Anak Ali.”

Tindakannya itu ternyata disenangi Adun DAP.

Pantun klasik itu pernah dinyanyikan dalam filem Gurindam Jiwa (1965) keluaran Jalan Ampas oleh pelakon terkenal Nordin Ahmad dan Latifah Omar.

Petikan lirik yang digubah dalam filem itu mengisahkan mengenai rindu antara sepasang kekasih. Dalam filem popular itu, pantun itu digubah seperti berikut:

“Anak Cina pasang lukah,
Lukah dipasang di Tanjung Jati,
Di dalam hati tidak ku lupa,
Sebagai rambut bersimpul mati.”

Ketika ditemui wartawan diluar dewan, Ali berkata dia hanya mengungkapkan rangkap-rangkap pantun klasik dan tidak berniat untuk menyinggung perasaan masyarakat Cina.

“Pantun ini pantun lama dan budak-budak sekolah dahulu pun pernah dengar.

“Jadi, ini perkauman ke? Saya harap anggota dewan lebih rasional dan bagi orang-orang yang tinggal di Malaysia, ketahuilah budaya kita sesama sendiri.

“Kita semua kena memahami budaya dan adat masyarakat lain supaya tidak timbul salah faham,” katanya lagi.

– https://www.themalaysianinsight.com

.