PANGLIMA ‘KENIT’ NAJIB BUKA LANGKAH, ZHUGE LIANG DAP TERSENGIH

Ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan kempen terbaru pejabat perdana menteri memetik kembali isu pembatalan pendaftaran DAP serta ‘ugutan’ larangan menggunakan lambang roket pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bukan ugutan itu yang tidak kena, tetapi cara ia disampaikan agak sedikit meresahkan.

Ancaman-ancaman demikian memang tidak asing lagi. DAP memang makan ancaman sebegitu dengan telur separuh masak setiap pagi. Maka ia tidak hairan.

Yang buat kita hairan sebenarnya ialah, apa kejadahnya yang Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad itu gigih betul menyerang dengan kenyataan media pada tengah-tengah malam menghampiri waktu akhir sesetengah akhbar dicetak, dan ditulis pula dalam bahasa Inggeris?

Untuk sedikit konteks, setiausaha akhbar perdana menteri itu bertindak mengeluarkan kenyataan akhbar lewat tengah malam pada 1 Julai – sekitar jam 11 malam – bagi menjawab beberapa bacaan politik Zhuge Liang DAP merangkap Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong (sila Google sendiri siapa itu Zhuge Liang).

Liew pada petang Jumaat lalu mengeluarkan analisis tentang kegagalan perancangan Datuk Seri Najib Razak. Analisis panjang lebar tersebut antara lain mendedahkan maklumat yang telah sampai kepada beliau tentang keyakinan Najib membubarkan Dewan Rakyat pada September atau Oktober akan datang.

Keyakinan presiden Umno

Bahkan Najib begitu yakin sehingga sanggup menggugurkan beberapa menteri besar, ketua menteri dan menteri-menteri kanan Umno pada PRU akan datang. Tujuh kesemuanya, kata Liew.

Namun, punyalah terlebih yakinnya Najib ini sehingga beliau ingin cuba menukar kepala kerajaan di Sabah, Johor dan Melaka. Malah berani untuk mengetepikan anggota kabinetnya sendiri, termasuk timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dahi Ahmad Zahid bagaikan ditunjal apabila sepupu Najib sendiri diangkat sebagai menteri tugas-tugas khas pada April lalu. Dan pergelutan di jabatan perdana menteri pun mula rancak.

Itu antara lain bacaan politik Liew yang pastinya dibuat hasil maklumat yang beliau cerna daripada sumber-sumber dalam dan luar Umno yang kini sedang menyaksikan acara laga lembu paling senyap dalam sejarah politiknya.

Gerombolan yang telah Umno dan masuk parti cap bunga raya pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pasti telah mencurahkan isi hati dan perut masing-masing kepada sang Zhuge Liang dan dia pun menyusun bacaan politiknya.

Bacaan tersebut pastinya menyentap urat hati perdana menteri. Jika tidak, masakan beliau yang sedang tenang bercuti di Bali (dan kemudian khabarnya di Perth) perlu menyuruh setiausaha akhbarnya supaya membuat serangan terhadap bacaan politik Liew itu tengah malam 1 Julai lalu.

Seperti biasa, apabila Umno diserang, yang disuruh menampan serangan adalah panglima-panglima kenit dahulu. Sedang seronok beraya, disuruh tulis sekeping kenyataan media lima perenggan buat menangkis dakwaan panjang lebar dengan berbekalkan taktik lama, menjawab soalan dengan soalan lain.

Dakwaan berita palsu

Tengku Sariffuddin menyuruh Liew berhenti menyebarkan ‘berita palsu’ tentang kerajaan pada perenggan pertama. Kemudian disuruh tumpu kepada persoalan sama ada DAP akan dibenarkan mengguna pakai lambang roket pada PRU akan datang.

Ini kelakar sekali. Penat menulis kenyataan lima perenggan pada tengah malam buta; tapi satu persoalan pun tidak dijawabnya. Main ugut-ugut pula.

Lebih kelakar lagi, panglima kenit perdana menteri ini jelas tidak membuat kerja rumah barang sedikit pun sebelum melancarkan serangan balas.

Beliau sepatutnya tahu – kerana memang kerjanya untuk mengambil tahu – bahawa pada September 2014, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sudah pun mengalah di mahkamah.

Selepas 21 bulan, ROS datang pada tengah-tengah malam ke ibu pejabat DAP dan menimbulkan keresahan tentang penggunaan lambang roket pada PRU ke-13.

ROS bersetuju bahawa Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP yang dilantik pada 29 September 2013 adalah sah dan boleh melaksanakan tugas.

Kemelut CEC DAP bermula selepas keputusan pemilihan DAP dalam kongresnya pada 2012 tidak diiktiraf ROS lantaran kesilapan teknikal.

DAP kemudian melakukan pemilihan semula pada 29 September 2013 berdasarkan saranan pihak ROS.

Semak keputusan mahkamah

Semakan kehakiman yang difailkan DAP di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditarik semula apabila peguam-peguam mewakili ROS bersetuju bahawa surat yang dikeluarkan terhadap parti itu adalah tidak mengikat, dan ROS mengiktiraf CEC DAP yang telah dilantik melalui pemilihan semula tersebut.

Takkanlah ini pun Tengku Sariffuddin tidak ambil tahu? Atau memang bukan beliau yang menulis kenyataan media itu?

Ini satu lagi episod menarik dalam cerekarama jabatan perdana menteri. Khabarnya, Tengku Sariffuddin ini sebenarnya tidaklah begitu bagus penguasaan bahasa Inggerisnya. Demikian kata pengamal media yang turut mendakwa bahawa kenyataan bersiri itu tidak ditulis oleh beliau sendiri, malah dengan bantuan seorang ‘mat saleh’.

Ini ditegaskan oleh Liew sendiri yang berkongsi paparan kenyataan tersebut di media sosial dan berkata bahawa beliau percaya ia ditulis oleh ‘konsultan mat saleh’.

Ini, katanya, kerana kejanggalan kenyataan terbabit yang merujuk perdana menteri di kepala dokumen dengan nama sahaja tanpa gelaran. Seakan-akan penulisnya tidak faham protokol.

Ini yang menyebabkan kita tertanya-tanya. Dah, kenapa gigih benar si panglima kenit menyerang tengah-tengah malam ketika orang semua sedang terbongkang kenyang makan di rumah terbuka hari raya.

Adakah panglima kenit tidak berhari raya?

Adakah juga panglima kenit itu tidak sedar bahawa beliau telah selamba memintas bidang tugas Ahmad Zahid, menteri yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Pendaftar Pertubuhan, yang baru semalam dilaporkan berkata supaya jangan ada spekulasi tentang pembatalan pendaftaran DAP?
Rancak betul Umno bertikam nampaknya. Marilah kita sama-sama bertepuk tangan sambil kunyah bertih jagung. Sikit hari lagi melingkuplah.
IZMIL AMRI ISMAIL merupakan penulis dan pemerhati politik.

– M’kini

.