PANDUAN ROS DALAM PEMATUHAN PPBM

KEPEMIMPINAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), secara terbuka atau tertutup, telah mengakui masalah pematuhan dan mengharapkan panduan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM) memandangkan parti itu masih baru.

 
Muhyiddin bercakap kepada wartawan selepas menemui ROS semalam

Yang mutakhir adalah pengakuan dan penjelasan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bahawa PPBM memerlukan tunjuk ajar dan nasihat JPPM, khususnya berkaitan mesyuarat agung tahunan.

[Komen “Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Muhyiddin berkata, pertemuan perwakilan PPBM dengan Ketua Pengarah JPPM, Surayati Ibrahim pada 21 November di Putrajaya berjaya mencapai kata putus.

Katanya, pihak JPPM memberi ruang kepada PPBM untuk membentangkan cadangan penyelesaian urusan pembentukan parti itu yang masih belum selesai. Muhyiddin berkata, keputusan itu dicapai selepas perbincangan ‘positif’ antara kedua-dua belah pihak. (Baca lanjutdi sini).

Antaranya adalah PPBM diberi masa untuk mengemukakan saranan bagi menyelesaikan masalah kegagalan mengadakan mesyuarat agung tahunan di peringkat pusat dan bahagian.

Sebenarnya, masalah pematuhan yang dialami oleh PPBM bukanlah sesuatu luar biasa atau khusus kepadanya sahaja.

Dari semasa ke semasa parti-parti politik lain pun menghadapi masalah sama, termasuk parti-parti lama seperti Umno, MCA, MIC dan DAP.

Sebahagian daripada kita tentu masih ingat bagaimana akibat kes mahkamah yang dibawa oleh penyokong Tengku Razaleigh Hamzah berikutan pemilihan tahun 1987, Umno telah diharamkan dan pendaftarannya dibatalkan pada tahun 1988.

Walaupun pendaftaran Umno sebagai Umno (Baru) diperoleh dalam masa yang singkat namun usaha mengatur semula struktur di peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan serta mengadakan mesyuarat, mengambil masa.

Bagi yang sudah lupa atau tidak tahu, akibat pengharaman itu segala harta benda milik Umno seperti bangunan pejabat dan perniagaan diambil alih oleh pemegang amanah. Proses mendapatkan balik harta tersebut, khususnya aset perniagaan, mengambil masa dan memerlukan ratusan juta ringgit.

Hal itu berlaku walaupun Umno adalah parti pemerintah. Jadi bagi sebuah parti pembangkang setahun jagung seperti PPMB, mengalami masalah pematuhan bukanlah luar biasa atau disengajakan.

Apa yang berlaku itu sepatutnya dijadikan iktibar oleh majlis pimpinan tertinggi (MPT) PPBM seperti yang dibangkitkan dalam mesyuarat MPT baru-baru ini.

Kepemimpinan PPBM harus mendalami kemungkinan berlaku kelalaian dan kecuaian dalam pengurusan dan pentadbiran parti.

Harapan peribadi saya adalah apa jua yang sedang dilalui oleh PPBM tidak akan menjejaskan semangat perjuangan ahli-ahli dan penyokong di semua peringkat.

Mereka inilah yang perlu diutamakan kerana sokongan ikhlas merekalah yang menjadi ilham kepada penubuhan PPBM dan seterusnya menjadikannya parti pilihan untuk mencabar hegemoni Umno.

Walaupun Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, yakin Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh menyingkirkan beliau, tetapi rakyat jelata boleh.

Rakyat jelata yang semakin terbeban akibat salah urus ekonomi, penyelewangan dan rasuah, insya Allah boleh menumbangkan Mohd Najib dan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang.

– http://kadirjasin.blogspot.com/

.