PANDIKAR PERLU LETAK JAWATAN JIKA MAHU BERDEBAT DENGAN SHAFIE

PANDIKAR Amin Mulia perlu meletak jawatan sebagai speaker Dewan Rakyat jika mahu berdebat dengan Presiden Warisan Shafie Apdal mengenai hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata pemimpin parti pembangkang negeri itu.

Naib Presiden Warisan, Junz Wong juga mengkritik speaker kerana gagal bersikap adil apabila beliau mencabar Ahli Parlimen Semporna, Shafie, untuk berdebat secara terbuka.

“Kami agak terkejut mengapa Pandikar melibatkan dirinya dan menjadikannya hal politik. Sebagai speaker Dewan Rakyat, beliau sepatutnya tidak berat sebelah.

“Beliau mesti meluluskan usul untuk bercakap mengenai MA63 di Parlimen dan meletak jawatan jika benar-benar mahu berdebat dengan Shafie mengenai isu itu,” kata Wong pada sidang akhbar hari ini di Dewan Undangan Negeri Sabah.

Pandikar dan Sabah sedang berbalah mengenai status Sabah dan Sarawak apabila ia membentuk Malaysia bersama Semenanjung Melayu dan Singapura pada 1963.

Semasa forum MA63 pada 12 November, Pandikar berkata Sabah berkongsi status setara dengan negeri-negeri lain di Tanah Melayu.

Shafie mendakwa kenyataan itu sebagai “bodoh” kerana Sabah tidak boleh dibandingkan dengan negeri lain kerana ia (Sabah) bersama Sarawak adalah penandatangan MA63 dan oleh itu rakan kongsi yang setara.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Christina Liew, yang juga hadir berkata pembangkang tidak akan masuk ke “perangkap” Pandikar untuk membahaskan pemansuhan Islam sebagai agama rasmi negara kerana ia hanya akan memecahbelahkan rakyat Sabah.

Beliau berkata kebanyakan penduduk Sabah lebih bimbang dengan isu kos hidup.

Liew berkata isu ekonomi adalah sebab mengapa rakyat Sabah melihat MA63 dan menggesa kerajaan persekutuan menghormati haknya mengenai hasil pendapatan yang diperoleh daripada sumber Sabah.

“PH Sabahtidak bercakap tentang bangsa dan agama. Kita bercakap mengenai aspek ekonomi. Kami tidak akan jatuh ke dalam (perangkap Pandikar). Yang penting adalah memenuhi hak istimewa negeri,” katanya.

Pemimpin lain pada sidang akhbar itu ialah Naib Presiden Warisan Jaujan Sambokong, Bendahari Warisan Terrence Siambun dan Timbalan Ketua Pemuda Warisan Nicholas Chak.

– https://www.themalaysianinsight.com

.