KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dicabar supaya tidak masuk ke Dewan Rakyat, sekiranya beliau tidak iktiraf kedudukan Yang Dipertua atau speaker yang dilantik mengikut Perlembagaan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau amat kesal dengan sikap anggota Parlimen DAP itu yang tidak menghormati kedudukan speaker yang dipilih di bawah Artikel 57(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau YB Segambut berpendirian sedemikian, saya cabar beliau untuk tidak masuk dalam Majlis Mesyuarat sewaktu saya mempengerusi mesyuarat.

“Saya juga tidak akan menghormati seorang anggota Yang Berhormat yang tidak menghormati Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada 25 Oktober lepas, Lip Eng mendakwa Pandikar Amin

memberi ‘syarahan’ mengenai isu subjudis saman Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, sebelum kedua-dua mereka saling bertikam lidah dan Lip Eng diarah keluar.

Pandikar Amin turut menegaskan dirinya tidak perlu meminta maaf kepada anggota Parlimen pembangkang yang bertindak keluar daripada dewan ketika pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Oktober lepas..

Ini kerana katanya, tindakan mereka itu telah dirancang lebih awal untuk mengaibkan Najib yang juga Menteri Kewangan secara peribadi, bukannya disebabkan tidak bersetuju dengan kandungan bajet.

“Pernyataan ini dibuktikan oleh tindakan ahli-ahli yang berhormat yang berkenaan mengangkat plakad-plakad yang tertulis perkataan, “siapa MO1?” sebelum mereka keluar.

“Atas sebab itu, soal untuk saya meminta maaf kepada ahli-ahli yang berhormat yang konon saya halau keluar tidak timbul sama sekali atas sebab pertama, mereka sendiri yang telah merancang untuk keluar. Kedua, mereka melanggar Peraturan Mesyuarat 41(1)(e),” katanya.

– Bernama

.