PAKATAN TANGGUH UMUM CALON PM KERANA MESEJ ANWAR

KETUA Umum PKR Anwar Ibrahim menangguhkan penetapan calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) yang sepatutnya diselesaikan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH semalam, kata sumber.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, bekas pemimpin pembangkang yang dipenjarakan itu mahu PH mendapatkan maklum balas daripada kumpulan masyarakat dan aktivis sivil mengenai calon mereka sebelum membuat pengumuman.

Bagaimanapun, majoriti pimpinan dalam mesyuarat itu menegaskan keputusan dan pengumuman calon PM akan dibuat tidak lama lagi, kata sumber.

Satu lagi syarat sebelum menamakan calon PM ialah gabungan parti pembangkang itu perlu menyelesaikan semua isu berkaitan rundingan kerusi.

PH kini mempunyai 48 jam untuk menyelesaikan rundingan kerusi sebelum konvensyen PH pada Ahad di mana calon akan diumumkan.

Majlis presiden, yang terdiri daripada pimpinan tertinggi DAP, PKR, Amanah dan Bersatu, memberitahu media semalam yang calon PM akan diumumkan hujung minggu ini di Shah Alam.

Kesemua syarat ini dinyatakan oleh Anwar menerusi surat yang disampaikan oleh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali ketika majlis itu memulakan mesyuaratnya semalam.

“Dalam surat itu Anwar berkata, walaupun PH bertunjangkan empat parti, tetapi kekuatannya adalah suara rakyat terbanyak.

“Menurut Anwar, PH perlu mengekalkan tradisi berunding dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis masyarakat sebelum menamakan calon perdana menteri,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight dengan syarat tidak dinamakan.

Tidak sampai 30 minit Majlis Presiden PH memulakan mesyuaratnya semalam, PKR mengirimkan kepada media satu kenyataan daripada Anwar yang mengandungi mesej sama dengan kandungan surat yang dibawa Azmin itu. Kenyataan media itu dikirimkan melalui emel pada pukul 5.25 petang.

Tidak berapa lama selepas itu, Azmin dilihat meninggalkan mesyuarat Majlis Presiden PH lebih awal.

Menurut sumber itu lagi, Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad pada awalnya mahu berundur daripada mesyuarat kerana tidak mahu terlibat dalam perbincangan yang akan tertumpu kepada dirinya sebagai calon perdana menteri.

“Tetapi majoriti yang ada dalam mesyuarat mahu Dr Mahathir kekal berada dalam mesyuarat agar beliau dapat mendengar sendiri apa yang dibincangkan.

“Yang jelas dalam mesyuarat tiga parti iaitu Bersatu, Amanah dan DAP mahu calon perdana menteri Dr Mahathir dan calon timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan secepat mungkin, cuma PKR yang masih mahu ia ditangguhkan,” kata sumber itu lagi.

Selepas tiga jam bermesyuarat semalam, Dr Mahathir berkata calon perdana menteri hanya akan diumumkan semasa Konvensyen Kedua PH yang akan diadakan pada Ahad.

Pada sidang media yang dihadiri wartawan tempatan dan antarabangsa itu, pemimpin kanan PKR tidak bersama Dr Mahathir kecuali naib presidennya Xavier Jeyakumar.

Walaupun diasak berkali-kali tentang calon perdana menteri dan pembahagian kerusi PH, Dr Mahathir tetap mengatakan perkara tersebut hanya akan diumumkan semasa konvensyen.

Tetapi Dr Mahathir bertegas calon perdana menteri perlu diumumkan PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam pemukiman yang diadakan PH akhir tahun lalu, Dr Mahathir dan Presiden PKR Dr Wan Azizah dicadangkan sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya berjaya menang PRU14.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak dapat diumumkan kerana PKR masih mahu membincangkan perkara itu pada peringkat parti, walaupun Bersatu, DAP dan Amanah menyokong tanpa bantahan.

48 jam untuk selesaikan rundingan kerusi

Seorang lagi sumber yang hadir dalam mesyuarat itu memberitahu The Malaysian Insight, keputusan akhirnya dicapai agar rundingan kerusi perlu diselesaikan sebelum Dr Mahathir diumumkan sebagai calon perdana menteri pada Ahad semasa konvensyen PH.

“Selesai rundingan kerusi, kita sudah boleh umumkan calon PM. PKR tetap mahu kerusi terbanyak. Tetapi hanya lebih dua tiga kerusi sahaja, tidaklah begitu dominan.

“48 jam yang tinggal ini, Jawatankuasa Rundingan Kerusi PH yang dianggotai PKR, Amanah, Bersatu dan DAP akan mengadakan rundingan sehingga selesai,” kata sumber itu yang mahu identitinya dirahsiakan.

Sumber itu bagaimanapun optimis isu ini dapat diselesaikan sebelum Ahad memandangkan kerusi yang bertindih antara keempat-empat parti itu tidaklah terlalu banyak.

“Ini kerana pertindihan hanya melibatkan lebih kurang 10 kerusi sahaja,” katanya.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dalam satu wawancara minggu lalu berkata PH tidak ada pilihan selain menamakan calon perdana menterinya sebelum PRU14 kerana rakyat mahu tahu siapa yang akan mengetuai kerajaan yang akan mereka pilih, sekiranya gabungan pembangkang itu menang pilihan raya.

The Malaysian Insight melaporkan minggu lalu, PKR mengenakan tiga syarat sebelum bersetuju dengan cadangan PH untuk menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri pada PRU14 akan datang.

Antara syaratnya ialah sebaik sahaja PH mengambil alih Putrajaya selepas PRU14, Anwar perlu dibebaskan dengan segera dan dilantik sebagai perdana menteri dalam tempoh enam hingga dua belas bulan.

Syarat kedua, PKR perlu diberikan kerusi Parlimen terbanyak berbanding parti-parti lain dalam PH iaitu sebanyak 60 daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia.

Ketiga, Dr Mahathir perlu bersetuju untuk melakukan reformasi kepada institusi-institusi penting di negara ini.

– https://www.themalaysianinsight.com

.