PAKATAN SERAH MEMORANDUM DESAK BANK NEGARA SIASAT 1MDB

WAKIL rakyat Pakatan Harapan (PH) hari ini berarak dari Parlimen ke Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendesak bank pusat itu menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam kemelut yang timbul akibat saman sivil terbaru yang difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Lebih daripada 30 ahli Parlimen PH berjalan hampir dua kilometer bermula jam 9 pagi untuk menyerahkan memorandum kepada Gabenor Bank Negara Muhammad Ibrahim. Memorandum itu diserahkan kepada dua wakil Bank Negara.

Presiden PH dan PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata mereka percaya kegagalan 1MDB untuk membayar hutangnya berjumlah AS$600 juta (RM2.6 bilion) kepada International Petroleum Investment Corporation (IPIC) menjejaskan integriti sistem kewangan negara.

“Bank Negara perlu menyiasat perkara ini secara proaktif dan telus.

“Bank Negara perlu (bertindak) bebas dan tidak memihak mana-mana pihak,” katanya kepada wartawan di luar pejabat Bank Negara di Kuala Lumpur.

Selain menyiasat RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak dan dakwaan wang dipindahkan ke Tanore Finance Corporation, memorandum itu turut mendesak siasatan terbuka ke atas pelaburan 1MDB dalam “unit” yang sebelum ini dinilai sebanyak AS$2.3 bilion yang disimpan dalam BSI Bank, Singapura.

1MDB yang merupakan cetusan idea Najib menjadi entiti tumpuan dalam siasatan rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan enam buah negara iaitu AS, Switzerland, Singapura, United Kingdom, Hong Kong dan Luxembourgh.

Semalam di Dewan Rakyat, Najib menyalahkan “isu teknikal” sehingga menyebabkan kegagalan 1MDB untuk membayar hutang sebanyak AS$600 juta (RM2.6 bilion) kepada dana pelaburan asing milik Abu Dhabi itu.

Dia juga mendakwa kegagalan pembayaran itu bukan disebabkan 1MDB tidak mempunyai wang.

Mubadala yang kini memiliki IPIC mengeluarkan kenyataan memberikan tempoh lima hari kepada 1MDB untuk melakukan pembayaran AS$600 juta yang gagal dijelaskan syarikat sarat hutang negara itu Selasa lalu.

Kegagalan menjelaskannya dalam tempoh itu akan menyebabkan 1MDB “tertakluk kepada tanggungjawab tambahan.”

April lalu, 1MDB bersetuju untuk membayar IPIC sebanyak AS$1.2 bilion secara dua kali bayaran sebelum akhir tahun ini, keputusan yang dicapai selepas arbitari tertutup dilakukan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.