PAKATAN SASAR TOKOH BESAR BN DALAM PRU14 NAMUN BELUM PUTUSKAN CALON

NAJIB Razak dan kawan barunya, Abdul Hadi Awang akan berhadapan dengan cabaran dari Pakatan Harapan (PH) di kerusi masing-masing dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti namun bukan daripada tokoh besar.

Keempat-empat parti dalam PH memikul tugas bersama untuk melawan tokoh besar Barisan Nasional (BN) termasuk kerusi Pekan yang dimenangi Najib hanya dengan 241 undi dalam PRU 1999 lalu.

“Ini kata sepakat yang dicapai dalam perundingan kerusi baru-baru ini. Kita akan ambil seorang satu,” kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.

Dalam Konvensyen PH Ahad lepas, diumumkan Bersatu akan bertanding 52 kerusi parlimen di Semenanjung sahaja, PKR (51), DAP (35) manakala Amanah (27).

Sehingga kini, PH belum menentukan calon yang akan bertanding tetapi menetapkan kerusi yang akan ditandingi oleh setiap parti.

Bersatu akan meletakkan calonnya melawan Perdana Menteri Najib Razak di Pekan, PKR akan meletakkan calonnya melawan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datok.

Amanah pula akan meletakkan calonnya melawan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Marang manakala DAP akan meletakkan calonnya melawan Presiden MCA, Liow Tiong Lai di Bentong.

Di Marang, calon Amanah yang disebut-sebut akan bertanding melawan Hadi adalah Miqdad Zakaria, anak saudara kepada Hadi sendiri.

“Kita sudah mengenal pasti seorang tokoh muda untuk bertanding di Marang,” kata Raja Bahrin Shah, Pengerusi PH yang juga pengerusi Amanah Terengganu kepada The Malaysian Insight.

Menurut beliau, pihaknya akan mengumumkan calon berkenaan apabila sampai masanya nanti.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata,semua parti dalam Pakatan Harapan akan memikul tugas bersama untuk melawan tokoh besar Barisan Nasional termasuk kerusi Pekan dimenangi Najib Razak dengan 241 undi pada PRU 1999 lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2018.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata,semua parti dalam Pakatan Harapan akan memikul tugas bersama untuk melawan tokoh besar Barisan Nasional termasuk kerusi Pekan dimenangi Najib Razak dengan 241 undi pada PRU 1999 lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2018.

Namun, kata Raja Bahrin, beliau juga mendapat maklumat kemungkinan presiden PAS itu tidak akan bertanding mempertahankan kerusinya dalam pilihan raya kali ini.

“Jika beliau tidak bertanding, besar kemungkinan anak beliau, Khalil Abdul Hadi akan dicalonkan.

“Bagaimanapun, kita bersedia untuk meletak calon kita di Marang,” katanya.

Khalil adalah ketua Pemuda PAS pusat. Sebelum ini beliau belum pernah menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya.

Dalam PRU13 lalu, Hadi menewaskan calon BN, Yahya Khatib Mohamad dengan majoriti 5,124 undi.

Di Pekan, Bersatu yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad akan meletakkan calonnya melawan Najib.

Sebelum ini, bekas ketua pemuda PKR yang menyertai Umno dan kini keluar daripada parti itu, Ezam Mohd Nor berazam mahu melawan Najib di Pekan.

Mac 2017 lalu, Abdul Rahman Mohd Nor yang mengaku ketua Bersatu di Pekan sedia bertanding melawan Najib di kerusi itu. Namun, ia senyap begitu sahaja kerana ketika itu pembahagian kerusi belum di muktamadkan.

Halangan utama calon PH di Pekan adalah 13,345 pengundi Felda yang ada di kawasan ini di lapan peti undi yang memberikan majoriti 6,331 undi kepada Najib dalam PRU13. Pengundi Felda dijangka bertambah lagi dalam pilihan raya kali ini.

Dalam PRU13, calon PKR hanya mendapat 3,507 undi manakala Najib mendapat 9,838 iaitu hanya 35% daripada jumlah undi yang dibuang.

Ekoran itu, kejayaan pengerusi PH yang juga Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad memecah masuk ke kawasan Felda menjadi sandaran calon Bersatu di sini.

Najib menang dengan majoriti 35,613 dalam PRU13 dimana beliau mendapat 51,278 undi berbanding 15,665 undi oleh calon PKR, Mohd Fariz Abd Talib.

Di Bentong, DAP dijangka akan meletakkan calon lamanya, Wong Tak bagi melawan Presiden MCA, Liow Tiong Lai sekali lagi.

Dalam PRU13, Wong Tak kalah tipis iaitu dengan majoriti 379 undi sahaja.

Menurut sumber DAP, Wong Tak dijangka akan dikekalkan di situ “kecuali ada perubahan di saat akhir.”

DAP juga berdepan dengan pengundi Felda yang membentuk 17% dari pengundinya iaitu seramai 10,986 pengundi dalam PRU13 lalu.

Ketika itu, DAP hanya mendapat 3,326 undi dari lapan peti undi Felda berbanding calon BN mendapat 7,660 undi.

Menurut sumber, presiden MCA itu sudah memberikan khidmat yang sangat baik kepada pengundi Felda.

“Mereka ibarat anak emas buat Liow Tiong Lai kerana merekalah penyelamat beliau dalam PRU13 lalu,” kata penganalisis politik, Hisommuddin Bakar.

Di Bagan Datok, calon PKR akan melawan Zahid sekali lagi.

Dalam PRU13, calon PKR Madhi Hassan tewas di tangan Zahid dengan majoriti 2108.

Menurut sumber, PKR bakal meletakkan calon baru bagi menentang Zahid dan nama Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Mat Suhaimi Shafie yang juga Adun Sri Muda ada disebut untuk dijadikan taruhan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.