PAKATAN MUNGKIN UMUM CALON PM DI KONVENSYEN 7 JANUARI

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) dilaporkan berbelah bahagi sama ada mahu mengumumkan nama calon perdana menteri dalam tempoh tidak lama lagi atau hanya mendedahkan kemudian selepas Parlimen dibubarkan.

Laporan The Malay Mail Online menyebut ada di kalangan pemimpin PH berpendapat bahawa calon berkenaan sepatutnya diumumkan dalam konvensyen gabungan parti itu pada 7 Januari.

Setiausaha organisasi kebangsaan DAP Anthony Loke mengesahkan PH sudah menerima cadangan untuk mengumumkan calon tersebut.

“Tetapi ini bergantung kepada keputusan akhir oleh majlis presiden PH,” katanya seperti dipetik portal itu.

Sementara itu, sesetengah pemimpin dalam PH berpendapat nama calon itu sepatutnya hanya didedahkan di peringkat akhir sebagai senjata sulit, kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.

“Terdapat perbezaan pandangan sama ada ia patut dibuat semasa konvensyen atau selepas pembubaran Parlimen.

“Ada yang rasa ia patut disimpan sehingga ke saat akhir sebagai senjata sulit,” katanya seperti dipetik MMO.

Menurutnya, majlis presiden menetapkan supaya parti memuktamadkan rundingan kerusi sebelum konvensyen 7 Januari.

Laporan itu turut memetik kenyataan anggota majlis tertinggi Bersatu, Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff yang menggesa agar pengumuman itu dibuat segera.

“Paling baik jika rakyat tahu siapa yang akan mengetuai jika PH menjadi kerajaan baharu.

“Bila anda ada pelan bisnes yang cemerlang, dan anda bentangkan kepada pelabur, anda perlu tahu siapa yang akan melaksana pelan tersebut,” katanya lagi seperti dipetik dalam laporan itu lagi.

– https://www.themalaysianinsight.com

.