PAKATAN MASIH TAK MAMPU SEPAKAT, KATA MENTERI

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Dr Salleh Said Keruak hari ini membidas Pakatan Harapan kerana masih bergelut dengan masalah siapa yang akan dinamakan sebagai perdana menteri.

Beliau berkata belum pernah ada satu gabungan yang begitu keliru tentang siapa yang akan diletakkan sebagai perdana menteri bayangan sambil berkata sepatutnya sekarang mereka sudahpun mempunyai kabinet bayangan penuh.

“Tetapi Pakatan masih tidak dapat melakukan perkara yang mudah seperti ini. Kekeliruan menjadi lebih buruk apabila Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Bersatu) mengumumkan awal tahun  ini bahawa beliau adalah pemimpin tertinggi Pakatan.

“Kemudian, para pemimpin DAP sebaliknya membuat semua pengumuman dasar bagi pihak Pakatan. Kemudian nama Anwar Ibrahim (ketua umum PKR) disebut-sebut sebagai calon perdana menteri tetapi orang lain akan menjadi perdana menteri sementara kerana dia masih berada di penjara,” kata beliau menerusi catatan dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.my malam ini.

Salleh yang juga bendahari Umno merujuk kepada langkah Pakatan Harapan mengumumkan calon pilihannya untuk jawatan perdana menteri bulan depan.

– Bernama

.