PAKATAN JOHOR TUNTUT PENJELASAN SHAHRIR SAMAD TINDAKAN SAMSENG PENYOKONG

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) Johor menuntut penjelasan dan permohonan maaf daripada Barisan Nasional (BN) dan Ketua Umno Johor Bahru Shahrir Abdul Samad berhubung gangguan pada program ceramah mereka yang didakwa dilakukan oleh penyokong BN malam tadi.

“Insiden ini memalukan dan satu penghinaan terhadap demokrasi Malaysia,” kata pemimpin PH dalam kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan bersama dikeluarkan oleh Presiden PH Johor, Muhyiddin Yassin; Presiden Bersatu Johor Dr Shahruddin Md Salleh; Presiden Amanah Johor Aminolhuda Hassan; Presiden PKR Johor Hassan Karim; dan DAP Johor Liew Chin Tong.

Mereka berkata berdasarkan lambang dan tulisan pada kemeja-t yang pakai, mereka dipercayai daripada BN dan Umno.

China Press melaporkan hari ini ceramah DAP di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru malam tadi diganggu oleh kira-kira 50 orang.

Ahli Parlimen DAP Lim Kit Slang; Adun Stulang Andrew Chen; Adun Pengkalan Rinting Cheo Yee How; Setiausaha Bersatu Johor Osman Sapian; dan Ketua Penerangan PKR Johor, Akmal Nasir turut dijemput untuk bercakap pada ceramah itu.

“Kami melahirkan rasa dukacita terhadap insiden yang berlaku. Dalam keadaan dunia yang semakin maju dan berkembang pesat, BN masih bertindak dengan lagak samseng dan tidak bertamadun. Ternyata ia tindakan yang amat terkebelakang,” kata PH Johor.

Mereka menambah pemilik warung tempat ceramah itu diadakan turut diancam kerana menganjurkan program itu di premis mereka.

Chen berkata BN dan PH sepatutnya diberikan ruang untuk menganjurkan program mereka bagi mendekati rakyat dan membiarkan rakyat menentukan siapa akan dipilih.

“Tindakan memberikan tekanan politik serta menakut-nakutkan pemilik warung adalah tindakan yang tidak wajar,” kata Chen, sambil menambah tindakan menakut-nakutkan itu mengekang kebebasan rakyat.

Beliau berkata kejadian itu menunjukkan BN terlalu lama berkuasa sehingga berasa boleh melakukan apa sahaja kepada rakyat, termasuk menakut-nakutkan mereka.

Ia juga dikatakan menjejaskan demokrasi Malaysia mesti berhenti agar tidak menjadi seperti Korea Utara.

– https://www.themalaysianinsight.com

.