Pakatan ‘hilang’ Selangor jika tanding tiga penjuru

SHAH ALAM – Amanah menyatakan kebimbangan mereka kehilangan Selangor dalam keadaan Pas tidak komited dengan Pakatan Harapan dan juga dengan berlakunya pertandingan tiga penjuru.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd Samad berkata, usaha menjadi lebih sukar dengan pertembungan tiga penjuru yang dilakukan Pas.

Menurutnya, Amanah maklum bahawa Pas sedang meneruskan usaha membina blok ketiganya dengan penyertaan Berjasa baru-baru ini.

“Sekiranya persempadanan baru ini diluluskan dan Pas mengelak daripada berlaku pertandingan tiga penjuru, masih ada harapan untuk Selangor diselamatkan dari BN.

“Juga jika persempadanan semula ditolak, dan Pas masih mahukan pertandingan tiga penjuru, masih ada harapan untuk kekalkan Selangor di bawah Pakatan Harapan,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam hari ini.

Namun, beliau mengatakan harapan untuk menyelamatkan Selangor menjadi tipis sekiranya kedua-dua perkara di atas menjadi realiti.

“Sekiranya persempadanan semula dikuatkuasakan dan Pas bertanding secara tiga penjuru, maka harapan untuk selamatkan Selangor daripada BN hampir tiada,” katanya. – Sianr Harian

.