PAKATAN HARAPAN MAJU SETAPAK LAGI, PAS TIADA PILIHAN LAGI SELAIN SEGERA ”BERKAHWIN’ DENGAN UMNO

KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN
Majlis Presiden Pakatan Harapan telah membuat ketetapan berkenaan Pengerusi-Pengerusi Pakatan Harapan bagi negeri-negeri seperti berikut:
Selangor – YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Pulau Pinang – YAB Lim Guan Eng
Johor – YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Kedah – YB Dato’ Seri Mukhriz Mahathir
Pahang – YB Dato’ Fauzi Rahman
Perlis – YBhg Tn Hj Ameir Hassan
Wilayah Persekutuan – YB Tan Kok Wai
Kelantan – YB Dato’ Husam Musa
Terengganu – YB Dato’ Raja Kamarul Bahrin
Negeri Sembilan – YB Aminuddin Harun
Perak – YBhg Ahmad Faizal Dato’ Azumu
Melaka – YBhg Tn Hj Adli Zahari
Sabah – YB Christina Liew
Sarawak – YB Chong Chien Jien
YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad
Pengerusi Pakatan Harapan
YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Pakatan Harapan
YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Presiden Pakatan Harapan
YAB Lim Guan Eng
Timbalan Presiden Pakatan Harapan
YBhg Hj Mohamad Sabu
Timbalan Presiden Pakatan Harapan
30 Ogos 2017.
Pakatan Harapan maju setapak lagi dengan komitmen yang semakin jelas untuk menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.
Sehari selepas memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Pas dan disusuli dengan pendirian PKR senada dengannya, Pakatan Harapan kini mengumumkan pula senarai pengerusi negeri-negeri sebagaimana tertera di atas.
Dengan perlantikan tersebut, Pakatan Harapan sudah boleh merancakkan gerak kerja dan penyusunan jentera di setiap negeri, kawasan Parlimen, DUN dan peti undi.
Pembahagian kerusi dan senarai calon pilihanraya juga sudah boleh dikenalpasti mulai sekarang.
Yang penting, dengan pengumuman senarai itu, ruang untuk Pakatan Harapan atau mana-mana parti di dalamnya mengadakan sebarang kerjasama dengan Pas benar-benar sudah tertutup rapat.
Lalu, apa pilihan Pas?
Sesuai dengan mandat MT UMNO yang memberi kuasa kepada Najib Razak memutuskan sama ada mahu bekerjasama dengan Pas atau sebaliknya, pilihan terbaik bagi parti pimpinan Hadi Awang itu ialah segera menjalinkan kerjasama rasmi dengan UMNO dan BN.
Teruskanlah hubungan percintaan, kemudian bertunang dan bersanding di atas pelamin dengan UMNO.
Gagasan Sejahtera mereka hanyalah gabungan yang membuang masa dan tidak mampu ke mana-mana.
Pas perlu bekerjasama dan berbahagi kerusi dengan UMNO di kawasan-kawasan Melayu jika ingin menang lebih banyak kerusi. Berperang secara tiga penjuru di mana umpama gajah sama gajah berlawan, Pas yang hanya ibarat sang kancil, lebih mungkin mati tersepit  di tengah-tengah saja.
Dalam pertandingan tiga penjuru, Pas bukan saja akan kalah banyak kerusi Parlimen, tersisih di Selangor yang rata-rata kawasan pilihanrayanya  ada pengundi bukan Melayu sekitar 20 hingga 30 peratus, gagal menawan semula Kedah dan Terengganu, bahkan akan turut kehilangan Kelantan yang dimenangi pada 1990 dengan bantuan Semangat 46.
Bekerjasama dan berbahagi kerusi saja satu-satunya cara untuk Pas menyelamatkan dirinya. Dengan saling bekerjasama, mendapat bantuan kewangan dan bersama-sama dengan UMNO menggunakan jentera kerajaan adalah peluang paling terbaik untuk Pas dapat menonjolkan dirinya dengan lebih berkesan lagi.
Dengan saling bekerjasama, Pas akan berpeluang lebih cerah untuk berkuasa di beberapa negeri, selain berkongsi kuasa dengan UMNO di peringkat Pusat yang seterusnya akan menjanjikan jawatan menteri dan pengerusi GLC yang bergaji lumayan.
Lagi pun dengan mandat MT UMNO kepada Najib sebagaimana yang diumumkan oleh Annuar Musa, ia adalah isyarat paling jelas bahawa UMNO sangat memerlukan bantuan Pas dalam pilihanraya kali ini.
Jika tidak perlukan Pas, untuk apa MT UMNO serahkan mandat kepada Najib yang diketahui umum punya hubungan intim dengan Hadi?
Pas diperlukan bukan saja untuk mengukuhkan lagi sokongan segmen Melayu terhadap UMNO, bahkan kesediaan parti itu bekerjasama dengan sendirinya mampu menyucikan Najib daripada segala skandal 1MDB, hubungannya  dengan Jho Low, pembaziran Rosmah Mansor dan kekayaan mendadak Riza Aziz.
Tanpa disucikan oleh Pas dan Hadi yang sebelum ini mengkafirkan UMNO atas amalan politik suku dan agama suku, Najib akan terus bergelut dengan kesukaran dan kepayahan untuk berdepan dengan Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir dalam pilihanraya akan datang.
Tiada alasan untuk pengundi normal memilih seorang kleprokrat untuk terus menyusahkan rakyat dalam cara pentadbirannya, melainkan jika Najib disucikan oleh Pas terlebih dahulu.
Lebih-lebih lagi dengan langkah demi langkah disusun Pakatan Harapan kebelakangan ini, ia dengan sendirinya menguak lebih keyakinan pengundi terhadap gabungan alternatif itu untuk membentuk kerajaan baru menggantikan BN yang semakin mereput kepercayaannya di kalangan rakyat.

Maka, atas dasar saling memerlukan atau perkiraan menang-menang, Pas dan UMNO tidak perlu menunggu lebih lama untuk mengumumkan hubungan kerjasama mereka.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.