PAKATAN HARAPAN JANGAN BUANG MASA MELAYAN, ROYAN PAS HANYA MAHU TARIK PERHATIAN

Terbaru ini Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Samad pula melibatkan diri dalam cubaan mahu mengugut Pakatan Harapan.
Tuan Ibrahim meletakkan syarat agar parti-parti pembangkang lain jangan ganggu Kelantan serta kerusi tradisi yang biasa ditandingi Pas jika mahu pertandingan tiga penjuru dielakkan dalam pilihanraya akan datang ini.
Jangan ganggu kerusi Pas. Bila ada kerusi Pas diganggu, kita bebas bertanding di mana-mana saja kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan, ujar beliau.
Dalam nada yang hampir sama, Iskandar berkata, kerusi pembangkang lain di Selangor bebas untuk ditandingi oleh Pas jika tiada persetujuan dicapai berkaitan pembahagian kerusi dengan mereka.
Sehubungan itu, tambahnya, Pas Selangor sudah sedia untuk bertanding di 45 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen di negeri itu.
Apakah makna semua ini?
Daripada mahukan parti-parti lain jangan bertanding di 80 kerusi Parlimen yang akan ditandingi parti itu dan kemudian meluahkan keghairahan menguasai beberapa negeri, Pas kini nampaknya sudah mula main ugut-ugut pula.
Sebagaimana yang disebut dalam posting sebelum ini, siapa Pas dalam Pakatan Harapan atau di kalangan parti-parti pembangkang untuk mereka berkelakuan sedemikian?
Tidakkah mereka adalah blok ketiga yang lebih merupakan sekutu UMNO dan BN, berbanding sebagai rakan kepada Pakatan Harapan?
Teruskan sajalah dengan Gagasan Sejahtera yang selama ini kononnya mampu mengubah dunia!
Jadi, kenapa nak main ugut-ugut terhadap Pakatan Harapan?
Adakah Pas sekarang sudah mula terasa akan kalah di Kelantan dan di banyak kerusi yang akan ditandinginya, lalu cuba menggunakan taktik ugut untuk melindungi kelemahan,  sambil dapat juga menjaga ego sendiri yang begitu tinggi?
Siapa peduli jika Pas mahu bertanding di mana dan banyak mana kerusi sekali pun?
Apabila setiap hari makin kuat melatah, lebih-lebih lagi menjelang Muktamar Tahunan pada 28 April ini, itu adalah tanda paling nyata Pas sebenarnya semakin lemah, tetapi masih cuba menarik perhatian seolah-olah mereka masih penting.
Jika tidak lemah, kenapa berkelakuan begitu?
Kenapa Pas masih ingin berunding dengan Pakatan Harapan, bukankah Najib Razak dan UMNO adalah sahabat karib mereka sekarang ini?
Siapa yang sebelum ini mengatakan tidak mahu berebut kuasa dengan UMNO, ingin menjadi penasihat dan meminta ahli-ahli Pas tidak bermusuh dengan UMNO sehingga ke akhirat?
Kepada Pakatan Harapan, tak usah dilayan latah dan royan Pas kali ini. Kukuh dan kekalkan pendirian bersama parti-parti sedia ada iaitu PKR, DAP, Amanah dan Bersatu dengan matlamat utama menyingkirkan Najib,  menumbangkan UMNO dan BN serta menyelamatkan negara ini.
Lupakanlah Pas, lagi kuat mereka meroyan dan melalak, itu tandanya mereka semakin lemah dan ditolak. Biarkan saja parti itu dengan dunia barunya.
Berbagilah kerusi antara empat parti yang ada dalam Pakatan Harapan. Selepas pembahagian selesai, tumpukan kepada gerak kerja pilihanraya dengan segera menubuhkan jentera di peringkat negeri, bahagian dan peti undi.
Itu jauh lebih penting daripada melayan Pas yang karenahnya tidak sudah-sudah dan tiada titik penamatnya.
Bagi majoriti rakyat, bukan saja Najib, UMNO dan BN yang mereka mahu tolak, malah sekutu dan sesiapa yang dilihat membantu juga akan ditolak sama. Jangan sesekali dihampakan harapan rakyat yang rata-ratanya inginkan perubahan.
ShahbudinHusin