PAKATAN HARAPAN GARIS LIMA RESOLUSI PULIH FELDA

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli hari ini membentangkan lima resolusi Felda bagi memulihkan institusi itu.

“Resolusi pertama adalah dengan mengukuhkan pengurusan dan tatakelola Felda. Pakatan Harapan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk membuat siasatan menyeluruh mengenai kerugian dan penyelewengan  berbillion ringgit selain membatalkan semua transaksi yang tidak telus.
“Kedua, meringankan beban kos sara hidup dan hutang warga Felda. Pakatan Harapan akan meningkatkan kos sara hidup setiap peneroka sehingga RM2,000 bagi menampung kos tanaman sebelum kelapa sawit mengeluarkan hasil.

“Kita akan tubuhkan satu agensi pemantauan yang tidak berat sebelah  untuk menyemak semula aduan berkaitan Oil Extraction Rate (OER) bagi memastikan proses penilaian minyak sawit adalah telus,” katanya dalam Konvensyen Warga Felda, di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini.

Beliau berkata, bagi plan ketiga pula adalah mewujudkan mekanisme untuk berkongsi tanah warisan.

Katanya, Pakatan Harapan mencadangkan supaya tanah warisan tidak dipecahkan, tetapi anak waris dan Felda akan membuat satu Kontrak Perkongsian Pengeluaran di mana tanah warisan dipegang dalam akaun amanah untuk anak waris.

Resolusi keempat pula membangunkan bandar baru Felda di seluruh negara dan kelima menubuhkan Universiti Felda bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda Felda.

“Dengan pelaksaan plan keempat dan kelima ini, taraf hidup dapat ditingkatkan dan mewujudkan lebih peluang pekerjaan serta perniagaan di kawasan Felda.

“Selain itu, dengan penubuhan universiti ini, tumpuan kepada bidang berkaitan dengan industri kelapa sawit, kejuruteraan, pertanian, bio-teknologi dan perniagaan akan diterapkan,” katanya.

Jelasnya, resolusi ini bagi mengutamakan kebajikan peneroka Felda dan mengembalikan Felda ke hala tuju asal agar kehidupan peneroka lebih makmur, berjaya dan berdikari.

– SH

.