PAKATAN HARAPAN BINCANG CADANGAN TUN M

SHAH ALAM – Pakatan Harapan akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan pembaharuan yang akan dilakukan gabungan itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, mesyuarat itu diadakan susulan cadangan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

“Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail telah memanggil semua pihak dalam Pakatan Harapan untuk mengadakan mesyuarat.

“Mesyuarat itu akan dihadiri seluruh kepimpinan dalam pakatan. Ia akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Online.

Parti Bersatu secara rasmi awal minggu ini mengumumkan penyertaannya menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan.

Mahathir Mohamad bagaimanapun mencadangkan supaya gabungan itu diberi beberapa pembaharuan.

Bersatu juga dalam masa sama mencadangkan agar gabungan menggunakan nama baharu, satu logo, satu simbol dan satu manifesto untuk menghadapi pilihan raya.

Ditanya lanjut berkenaan mesyuarat itu, Saifuddin bagaimanapun berkata, tidak dapat memberikan butiran terperinci mengenainya.

“Tempat dan masa akan diputuskan oleh pihak sekretariat Pakatan Harapan. Yang saya tahu, mesyuarat itu memang akan berlangsung dalam masa terdekat,” katanya lagi.

– SH

.