PAKATAN BUKAN ANTI CHINA ATAU AS, CUMA ANTI NAJIB, KATA KIT SIANG

PAKATAN Harapan (PH) dan parti-parti komponennya bukanlah anti-AS atau anti-China hanya kerana mengkritik Putrajaya membawa masuk pelaburan dari China dan membuat perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS), kata Lim Kit Siang.

Ketua Parlimen DAP itu berkata kritikan terhadap pelaburan dari China, AS atau mana-mana negara adalah terasing daripada isu Perdana Menteri Najib Razak cuba menyelamatkan dirinya dari skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Najib kata kritikan pembangkang atas usaha BN menarik pelaburan akan beri kesan buruk kepada komuniti perniagaan Cina.

“DAP dan PH menyokong pelaburan asing untuk ke Malaysia tidak kira sama ada dari China, AS, atau Eropah kerana ia baik untuk ekonomi,” kata Lim kepada hadirin di majlis makan malam bagi mengumpul dana DAP Pulau Pinang di Bayan Baru malam ini.

Tetapi katanya, Najib salah apabila menuduh pembangkang menjadi anti-China ketika berucap pada majlis makan malan bersempena ulang tahun ke-60 Persatuan Hokkien Malaysia (FHAM) di Serdang semalam.

“Kita bukan anti-China, anti-AS atau anti-Eropah walaupun rakyat Malaysia yang patriotik mengkritik polisi kleptokratik Najib dan cuba menggunakan China bagi menyelamatkan dirinya dari skandal 1MDB serta melalui lawatannya ke AS,” katanya.

Lim turut menyentuh isu kesederhanaan di Malaysia apabila festival bir ditentang.

Beliau berkata Malaysia telah hilang arah dalam tempoh 60 tahun lalu, dan sekarang menuju negara yang gagal dan penyangak di sebalik inisiatif antarabangsa Najib seperti Gerakan Global Moderat (GMM).

“Hanya melalui PH dalam PRU14, rakyat boleh menyelamatkan Malaysia menghentikan kemusanahan, ketaksuban dan ekstremisme di negara ini.”

Beliau berkata perubahan dan revolusi politik hebat telah berlaku di Malaysia terutamanya di kawasan luar bandar.

Kata Lim, tanpa tsunami politik di kawasan luar bandar, perlaksanaan untuk perubahan demokrasi kerajaan tidak akan cukup kerana sistem pemilihan sedia ada tidak adil dan tidak demokratik. Dengan hanya 47% populasi yang mengundi, Najib masih boleh menang 60% daripada 222 kerusi Parlimen dan kekal berkuasa.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kemungkinan besar akan berlaku tsunami politik di kalangan pengundi Melayu di kawasan luar bandar, untuk menyaingi tsunami politik pengundi bandar iaitu Cina, India dan Melayu bandar.

Jika peluang itu terlepas, Malaysia akan lebih mundur pada tahun-tahun akan datang, katanya.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.