PAKATAN AKAN STRUKTUR SEMULA PERKHIDMATAN AWAM JIKA BERJAYA TAWAN PUTRAJAYA

PAKATAN Harapan (PH) akan menyusun semula perkhidmatan awam sekiranya ia berjaya mengambilalih Putrajaya kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, dan tidak akan melakukan pemecatan secara besar-besaran seperti didakwa Perdana Menteri Najib Razak.

Menjawab dakwaan Najib pada Selasa semasa pertemuan dengan 5,000 kakitangan awam yang separuh daripada mereka akan kehilangan pekerjaan jika PH mengambil alih pentadbiran, Rafizi berkata kesimpulan yang jumlah penjawat awam terlalu ramai berbanding penduduk adalah tidak tepat .

“Masalah sebenar ialah terlalu banyak kakitangan awam yang ditanggung oleh rakyat yang sebenarnya tidak berkhidmat untuk rakyat, tetapi berkhidmat untuk ahli politik yang menjadi menteri atau menguasai badan kerajaan atas lantikan politik,” kata Ahli Parlimen Pandan itu.

Rafizi berkata jumlah kakitangan semasa bagi 33 menteri ialah 607 dengan perdana menteri dan isterinya mempunyai 200 orang kakitangan.

“PH akan mengecilkan saiz jemaah menteri kepada sekitar 20 orang sahaja dengan menstrukturkan kembali kementerian-kementerian supaya tidak bertindih. Secara langsung, ini akan mengurang jumlah gaji yang perlu dibayar dan jumlah kakitangan awam yang diperuntukkan kepada menteri,” katanya.

Beliau berkata PH juga akan mengurangkan jumlah penjawat awam, sama ada melalui lantikan politik atau dalam perkhidmatan, bagi menteri dan timbalan menteri.

“Saya percaya kakitangan awam untuk Perdana Menteri mestilah dikurangkan kepada 70 orang sahaja dari jumlah 200 sekarang.

“Timbalan perdana menteri dikurangkan kepada 30 orang sahaja dari jumlah 77 sekarang, dan menteri-menteri dikurangkan kepada 6 orang sahaja dari purata 10 orang sekarang.”

Kakitangan lebihan akan ditugaskan semula ke tugas baru, kata Rafizi.

“Tugasan baru itu mestilah perkhidmatan yang berurusan secara langsung dengan rakyat,” kata Rafizi, sambil menambahkan prinsip yang sama akan digunakan untuk menyusun semula carta pekerja dalam perkhidmatan awam bagi mengakhiri salah penggunaan sumber manusia akibat campur tangan politik.

Beliau berkata akan membentangkan pecahan nombor untuk menunjukkan bagaimana pengagihan semula sumber manusia akan mengoptimumkan tenaga kerja.

“Saya yakin kakitangan awam pun secara keseluruhannya tahu apa yang berlaku dan bersetuju dengan pandangan saya ini.

“Dalam minggu-minggu seterusnya, saya akan tunjukkan juga bagaimana manfaat kewangan dan perkhidmatan yang diberikan kepada penjawat awam semakin berkurangan sejak di bawah pentadbiran Najib,” kata Rafizi.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.