PAKATAN AKAN MENANG PERAK PRU14 NANTI, KATA LIM KIT SIANG

PAKATAN Harapan (PH) akan rampas Perak daripada Barisan Nasional (BN) jika berlaku pertembungan tiga penjuru di 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Katanya, kalau dalam pertembungan tiga penjuru itu berlaku peralihan undi daripada BN kepada PH –10% undi Melayu, 5% undi bukan Melayu, kerajaan negeri Perak akan bertukar tangan.

“Kemungkinannya PH menang 39 kerusi, Barisan Nasional 20 kerusi dan PAS kosong kerusi.

“Perak akan jadi salah sebuah kerajaan negeri yang jatuh kepada PH pada PRU akan datang,” katanya pada satu ceramah di Parit Buntar malam tadi, yang teks ucapannya dihantar menerusi emel kepada media.

Kenyataan ahli Parlimen Gelang Patah itu lanjutan analisis beliau sejak seminggu yang lalu mengenai kemungkinan berlakunya peralihan undi daripada BN kepada PH yang akan memberikan gabungan pembangkang itu sekurang-kurangnya 113 kerusi di Parlimen.

Katanya, peralihan undi Melayu 10% dan undi bukan Melayu 5% itu boleh berlaku sekiranya pengundi menolak PAS dan memilih PH dalam pertandingan tiga penjuru.

Pertembungan tiga penjuru antara BN, PH dan PAS itu diyakini akan berlaku apabila PAS muncul dengan satu lagi gabungan politik dalam masa beberapa minggu ini.

Pakatan itu yang dijangka akan disertai oleh Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) akan dilancarkan secara rasmi pada September ini.

Dalam PRU13, BN membentuk kerajaan negeri di Perak selepas menang 31 kerusi mengatasi Pakatan Rakyat, gabungan pembangkang ketika itu, dengan kelebihan tiga kerusi.

Lim berkata pada pilihan raya yang sama, ada empat kerusi DUN yang dimenangi oleh BN dengan majoriti yang begitu kecil: Lubok Merbau 53 undi, Manjoi 132 undi, Manong 231 undi dan Pasir Panjang 302 undi.

Beliau menambah bukan mudah untuk membolehkan peralihan undi 10% dan 5% itu tetapi semua rakyat Malaysia yang patriotik, tanpa mengira latar belakang kaum, agama, daerah mahupun politik, mesti bersatu untuk menyelamatkan Malaysia demi masa depan generasi akan datang.

Dalam kalangan penganalisis politik, Perak disebut-sebut antara negeri yang menarik untuk disorot pada PRU14 nanti selain Kedah, Johor dan Sabah.

Politik di Perak jadi perhatian umum selepas PRU12 apabila tercetus krisis perlembagaan setelah dua ADUN PKR dan seorang ADUN DAP jadi ADUN Bebas, 10 bulan selepas pilihan raya.

Pada 11 Mei, 2009 Mahkamah Tinggi mengisytiharkan pengambilalihan kerajaan Pakatan Rakyat oleh BN tanpa melalui undi tidak percaya di DUN sebagai tidak sah.

Keputusan itu bagaimanapun dibalikkan oleh Mahkamah Rayuan yang mengesahkan pelantikan Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar kerajaan negeri BN. Keputusan itu kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari, 2010 dan menamatkan krisis politik itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.