PAKAR: PAS DALAM PROSES TENTU HALA TUJU

SHAH ALAM – Penganalisis politik dari ‎Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohammad Fuad Othman melihat Pas ketika ini dalam proses untuk menentukan hala tuju parti.

“Pas dilihat sama ada akan menjadi sebahagian pembangkang atau blok pembangkang asing atau juga pembangkang yang ‘friendly’ kerajaan.

“Jadi, kita tidak tahu yang mana satu jalan yang dipilih. Nampak gaya untuk mereka duduk semeja dengan Pakatan Harapan agak nipis kerana masalah mereka dengan parti Amanah dan DAP,” katanya bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan tidak akan bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP menjelang pilihan raya akan datang.

Tambahnya, DAP misalnya menolak cadangan RUU355 sebelum ini, manakala Amanah merupakan serpihan mereka.

Katanya, demi kepentingan survival politik, Pas perlu membuat keputusan jalan yang mana mereka hendak pilih.

“Setakat ini program dan aktiviti yang dijalankan menampakkan bahawa Pas dan Umno dilihat bekerjasama.

“Dahulu mereka pernah bekerjasama dalam satu majlis, sekarang sekali lagi dalam platform memperjuangkan nasib masyarakat Rohingya yang ditindas di Myanmar,” katanya.

Tetapi, pada masa sama juga, Pas masih berbelah-bagi hendak berkongsi kerajaan di Selangor yang menggabungkan PKR, DAP dan Pas sendiri.

“Pada masa yang sama juga, jika BN hendak menjalankan kerjasama dengan parti Islam itu, pasti ada kegusaran dengan ada parti komponennya yang dilihat turut menolak RUU sebelum ini.

“Jadi, pastinya di sini penyokong parti akan tertanya-tanya apakah pendirian mereka (Pas) dan keputusan perlu diputuskan kerana Pilihan Raya Umum yang dijangka tidak lama lagi.

“Jika Pas ingin berjuang sendirian, pasti akan berlaku pertandingan tiga penjuru, empat penjuru… tapi jika bersama Pakatan Harapan, mereka boleh merancang strategi kerana jika berlakunya tiga penjuru, hampir pasti kelebihan memihak pada BN,” katanya.

Tambahnya, “mereka (Pakatan Harapan) pastinya tahu perkara ini. Pas, DAP dan Amanah perlu luaskan perbincangan sama ada duduk dalam blok yang sama atau terus berpisah.

SINAR HARIAN

.