Pakar: Jika pembangkang menang, teruskan BR1M

SHAH ALAM – Penganalisis politik berpendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) perlu diteruskan oleh pembangkang sekiranya berjaya mengambil alih tanggungjawab pentadbiran kerajaan daripada BN pada PRU akan datang.

Ini kerana menurut Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib, pemberian BR1M sudah sebati dengan rakyat dan menjadi susun atur dalam pentadbiran awam.

“Setiap tahun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak konsisten meneruskan pemberian BR1M kepada rakyat negara ini. Malah pada bajet kali ini, Najib mengumumkan kenaikan pada kadar BR1M.

“Sekiranya pembangkang mengambil alih kerajaan dari tangan BN, mekanisme ini perlu diteruskan supaya rakyat akan terus dibantu,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Katanya lagi, langkah meneruskan pemberian BR1M oleh pembangkang akan memberi impak positif kepada pembangkang.

“Ia menunjukkan pembangkang mampu mentadbir, membawa dan meneruskan agenda yang diwujudkan BN.

“Ia juga menunjukkan kestabilan pembangkang dalam mengurustadbir kerajaan sekiranya (kerajaan) bertukar tangan kepada pembangkang,” katanya lagi.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat mengumumkan pemberian BR1M akan diteruskan pada tahun hadapan.

Bagi isi rumah berpendapatan bawah RM3,000, pemberian BR1M ditingkatkan daripada RM1,000 kepada RM1,200. Isi rumah berpendapatan RM3001 hingga RM4,000 pula dinaikkan daripada RM800 kepada RM900.

Sementara individu bujang berpendapatan bawah RM2,000 pula, pemberian BR1M akan ditingkatkan daripada RM400 kepada RM450.

SINAR HARIAN

.