PAK LAH: SAYA TAHU PASAL RCI FOREX

Tun Abdullah Ahmad Badawi berteka-teki apabila ditanya mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan bagi menyiasat kerugian dialami Bank Negara melalui aktiviti dagangan mata wang asing (forex) kira-kira dua dekad lalu

Bagaimanapun bekas perdana menteri itu enggan memberi penjelasan lanjut atau menjawab soalan lain yang diajukan kepadanya.

“Saya tak payah komen, tak perlu lagilah. Saya tahu,” katanya apabila ditanya sama ada RCI itu – yang diumumkan penubuhannya pada 18 Julai lalu – sebagai senjata politik ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya lagi sama ada beliau mengetahui apa yang sebenarnya mengenai suruhanjaya berkenaan, Abdullah menjawab: “Kami tahu, kami tahu.. Saya sudah (bersara) lama. Tak ada keperluan (untuk saya) bercakap lebih lanjut.”

Abdullah yang lebih mesra dikenali dengan panggilan Pak Lah dilantik menjadi perdana menteri menggantikan Dr Mahathir pada 2003.

Bagaimanapun, di sebalik pertukaran itu Dr Mahathir kemudian memainkan peranan penting untuk mengetepikan Abdullah supaya digantikan pula oleh Datuk Seri Najib Razak.

Najib kemudian menjadi perdana menteri pada 2009.

Selepas menjadi presiden dan perdana menteri selama 22 tahun Dr Mahathir kini menjadi seorang daripada watak terpenting dalam pembangkang bagi mengalahkan BN melalui Pakatan Harapan.

Kerugian dialami Bank Negara itu berlaku pada 1990-an ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Penubuhan RCI itu dianggap sesetengah pihak sebagai bermotifkan politik, selain mengalih perhatian orang ramai daripada isu 1MDB yang dikaitkan secara langsung dengan Najib.

Abdullah ditemui media selepas menghadiri majlis menanam pokok di parlimen hari ini. Beliau turut ditemani isterinya, Tun Jeanne Abdullah.

– M’kini

.