PAK LAH: Jangan bergaduh kerana PPBM

KUALA LUMPUR  – Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan semua pihak agar tidak bergaduh berhubung isu Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai parti politik.

Beliau berkata, semua perlu memahami kebaikan yang cuba ingin dibawa oleh parti baharu itu dan bukannya berkelahi sesama sendiri.

“Kita harap kalau ada hubungan yang elok itu, tentulah tidak ada masalah. Kalau hendak bergaduh, menimbulkan macam-macam, tidak baik, kita tidak suka dengan perkara-perkara yang menyebabkan pergaduhan. Kalau ada pergaduhan, selesaikan,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu jemputan dalam majlis pembukaan Forum Kyoto-ASEAN 2016 di Hotel Pullman, di sini hari ini.

Forum tersebut berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

ROS hari ini secara prinsip meluluskan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia sebagai parti politik dengan penggunaan akronim PPBM dan bukan Bersatu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan perkara itu berkata, parti itu bagaimanapun perlu mengemukakan peranan pengerusi dan presiden parti secara lebih terperinci kepada ROS secepat mungkin.

Menurut Abdullah, kelulusan PPBM sebagai sebuah parti politik menunjukkan kebebasan dalam berpolitik di negara ini.

“Tengoklah apa yang berlaku. Kita tidak tahu apa yang mereka (PPBM) hendak laksanakan sama ada yang baik atau sebaliknya. Kalau hanya mengacau dan tuduh-menuduh itu yang kita tidak suka,” ujarnya.

Sementara itu, Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO ketika ditemui berkata, Barisan Nasional (BN) perlu fokus dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang selain memantau dan berwaspada terhadap taktik pembangkang.

Katanya, apa yang penting sekarang adalah usaha BN untuk meningkatkan lagi penerimaan rakyat terhadap parti.
– UTUSAN

.