OSF NAFI BIAYA DANA UNTUK GULING KERAJAAN

PETALING JAYA: Open Society Foundations (OSF) menafikan dakwaan ia telah membiayai percubaan untuk menggulingkan kerajaan Malaysia,  menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘sepenuhnya salah’.

“Semua kegiatan Open Society Foundations adalah non-partisan dan jumlah pembiayaan tahunan kami di Malaysia adalah pada purata AS $700,000 (RM2.9 juta) setahun,” kata OSF dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kenyataan itu menjelaskan mengenai penglibatan dalam negara, yang bertujuan memperkasakan masyarakat yang sebahagian besarnya ketinggalan dalam perbahasan mengenai demokrasi dan keadilan sosial di Malaysia.

Dilaporkan bahawa OSF yang diasaskan oleh jutawan George Soros telah membiayai beberapa organisasi tempatan dalam program yang didakwa bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.

OSF pada masa ini tidak menyokong Bersih, walaupun ia telah menyediakan geran kecil sejurus selepas gabungan itu ditubuhkan sekitar tahun 2011-2012.

“Di Malaysia, geran kami kepada masyarakat sivil termasuk usaha untuk menggalakkan kesihatan awam, memupuk dasar penghijrahan yang adil dan menggalakkan penyertaan sivik serta politik semua rakyat Malaysia,” katanya.

Selain menyokong keadilan, kebertanggungjawaban dan amalan demokrasi di seluruh dunia, OSF juga menyokong masyarakat pribumi yang diancam pembangunan empangan di Sarawak dan usaha untuk meningkatkan perlindungan dan akses kepada keadilan untuk pekerja asing di Malaysia serta komunitinya melalui pendidikan dan bantuan guaman.

OSF aktif di lebih 100 negara di seluruh dunia dan menyokong usaha untuk menggalakkan masyarakat toleran di mana kerajaan bertanggungjawab kepada rakyatnya.

MSTAR

.