ORGAN PAS: KES ANWAR BUKTI DAP JEMPUT CAMPUR TANGAN ASING

Usaha DAP cuba melobi Amerika Syarikat bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah contoh bahawa parti itu mengundang campur tangan asing di negara ini, kata Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Dalam ulasannya di Harakahdaily, Kamarul memetik satu laporan daripada organ PKR, Suara Keadilan bagi menyokong dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap DAP.

“Agak menghairankan bila pemimpin DAP mengeluarkan reaksi terlalu keras terhadap kenyataan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ini.

“Sekadar satu contoh, seorang pemimpin DAP, Ronnie Liu, telah secara terbuka mengaku di dalam akhbar Suara Keadilan milik PKR keluaran 11 April 2017 bahawa beliau berjumpa dengan Kaunselor Politik Amerika Syarikat, Tressa Finerty, bagi membincangkan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara,” tulisnya.

Laporan Suara Keadilan itu berdasarkan kehadiran NGO Otai Reformasi ke kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada 6 April.

Mereka menyerahkan memorandum kepada kedutaan Amerika Syarikat bagi menggesa tekananan diberikan agar Anwar dibebaskan dan membantu beliau mendapatkan rawatan di luar negara.

Liu merupakan salah seorang daripada aktivis NGO itu.

Anak perempuan Anwar, Nurul Nuha turut hadir untuk menyerahkan memorandum berkenaan.

Selasa lalu, Abdul Hadi mendakwa DAP berunding dengan kuasa-kuasa asing untuk mempengaruhi politik Malaysia, dalam mempertahankan langkah PAS berunding dengan Umno bagi menguatkuasa undang-undang Syariah.

“Kita boleh berunding dengan Umno, berunding dengan siapa sahaja untuk melaksanakan Islam, sedangkan dia (DAP) dengan Amerika pun berunding, dengan negara asing pun dia berunding, dengan kedutaan asing pun dia berunding.

“(Mereka) berunding dengan negara asing untuk mengubahkan politik Malaysia. Kita tak sampai tangga (ke tahap) itu, nak suruh negara asing campur tangan negara kita,” Hadi dilapor berkata.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam jawapannya dua hari kemudian menuntut Abdul Hadi memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya.

Ketua Pemuda DAP Wong Kah Woh juga membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi dan menuduh beliau berbohong.

– M’kini