ORANG TIONGHUA DAN MELAYU PERLU TERUSKAN KERJASAMA, KATA MCA

KAUM Tionghua di negara ini disaran untuk meneruskan kerjasama dengan orang Melayu terutama yang melibatkan hal politik, bagi membentuk sebuah kerajaan yang baik.

Penasihat MCA Negeri Sembilan Wong See Wah berkata hubungan antara MCA dan parti Umno sendiri misalnya, telah terjalin sekian lama dan hasilnya sebuah kerajaan yang kukuh dapat dibentuk.

“Kita perlu sedar yang kaum Tionghua adalah minoriti di negara ini. Jadi adalah penting kita menggunakan kebijaksanaan supaya dapat bersama-sama memainkan peranan lebih efektif dalam pentadbiran kerajaan.  

“Kita akui dalam pilihan raya lalu MCA ada banyak kelemahan yang membawa kesan buruk kepada parti dan kali ini saya berharap ia dapat diperbaiki, terutamanya dalam mewujudkan perpaduan yang kukuh bersama Umno bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Kepimpinan PRU-14 MCA Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Chong Sin Woon dan Pengerusi MCA Negeri Sembilan Seri King Lim Chin Fui.

Wong berkata kerjasama politik antara kaum Tionghua dan Melayu bukan sahaja terjalin antara MCA dan Umno, tetapi juga parti lain misalnya, DAP dengan PKR.

Beliau turut menasihatkan supaya masyarakat Tionghua tidak bersikap berat sebelah dan lebih terbuka, misalnya dalam perkara yang melibatkan politik.

Sementara itu, Pengerusi Bilik Gerakan MCA Negeri Hon Choon Kim berkata beliau yakin, parti itu kini lebih bersedia dan bersemangat untuk menghadapi PRU14.

“Satu jawatankuasa khas telah diwujudkan sejak tiga bulan lalu bagi kita mengatur pelbagai strategi terbaik sekali gus menebus kembali kekalahan pada pilihan raya lalu.

“Pada masa sama, saya nampak perpaduan antara anggota juga telah diwujudkan termasuk dengan bekas pemimpin parti, yang bersedia memberi pandangan dalam menguatkan jentera parti,” katanya.

– Bernama

.