‘ORANG MELAYU KUAT BERPECAH’

KUALA LUMPUR – Negara tidak mungkin bergerak ke hadapan sekiranya masyarakat berpecah-belah.

Ketua Penerangan Umno , Tan Sri Annuar Musa berkata, sejarah pembinaan negara bangsa berpaksi kepada penyatuan dalam kalangan orang-orang Melayu.

“Kalau (misalnya) orang Melayu tidak bersatu, kaum lain juga tiada tempat dalam negara. Bila orang Melayu bersatu, baharulah terbentuk negara bangsa.

“Yang kuat berpecah adalah orang melayu. Umno berpecah kepada Bersatu, Pas kepada Amanah, habis semua orang Melayu pecah, jadi ke mana kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penerangan Umno Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata, jika ada kesedaran untuk memikirkan perkara berkaitan penyatuan itu, Umno amat mengalu-alukannya.

“Saya mengalu-alukan (perbincangan dengan pembangkang), jika ada sikap sedemikian, itulah yang kita harapkan. Walaupun ada pelbagai platform, pelbagai parti, kita perlu melihat pada matlamat.

“Cara mungkin berbeza, kita tidak boleh menghalalkan semua cara, semata-mata kita ada matlamat tertentu. Dalam soal politik kita hendak menjaga kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan, Timbalan Presiden Amanah yang menyatakan kesediaan untuk duduk bersama Umno bagi membincangkan isu-isu mengenai kepentingan orang Melayu.

Ia susulan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melahirkan rasa kebimbangan terhadap kemelut menghantui orang Melayu dan menasihati semua pemimpin Melayu untuk bersama berbincang masalah bangsa dengan cara bermuafakat dan berlapang dada.

“Cumanya, orang politik ayatnya banyak berlapik. Dikatakan bersatu itu ke arah mana, mulalah polemik yang akhirnya tidak jadi bersatu.

“Jadi yang penting kejujuran dan keikhlasan. Kepentingan bersatu bukan untuk Melayu sahaja, tetapi semua kaum,” kata Annuar.

Beliau berkata, jika ada perbezaan pendapat, ia harus berpada-pada, jangan sampai menghancurkan dan melemahkan bangsa Melayu.

– Sinar Harian

.