ORANG AGAMA TAK BOLEH MENTADBIR

Perlembagaan Negara atas persetujuan bersama parti parti politik berbilang kaum yang berasaskan formula  keharmonian bangsa  dan agama 60 tahun lalu sedang dipijak-pijak sekarang  apabila  UMNO yang menjuarai  politik liberal menentang keras  extremisme  telah tunduk kepada Pas yang menjuarai politik perkauman dan fahaman agama melampau.

Bukan Melayu dan bukan Islam memandang serong kepada kerjasama PAS UMNO dan tidak mungkin  akan memberikan undi kepada calon-calon UMNO walaupun bertanding atas nama Barisan Nasonal dalam pilihanraya ke 14. Kepada Bukan Melayu  BN bukan lagi Barisan Nasional tetapi BM iaitu Barisan Melayu Islam

Jika anda membaca  laporan  FMT (Free Malaysia Today) baru-baru ini mengenai pandangan Bekas Setiausaha Agung ASEAN Tan Surin Pitsuwan tentang  Kecetekan Pemikiran Islamdan melihat pendekatan UMNO dan kerajaan sekarang, aliran program-program  agama Islam  semua  TV Malaysia  yang menekankan kepada doa dan doa untuk survival, dakwah dan pendekatan agama yang konservatif dan sempit   maka anda akan sedar bahawa negara kita sedang mundur kebelakang dari pendekatan agama progresif dan dinamik yang dipelopori oleh pemimpin-pemimpin kemerdekaan negara.

Kita telah menyeleweng dari formula keharmonian kaum dan agama.

Hal ini lebih jelas berlaku sejak  UMNO hilang kekuatan sendiri dan menjadi lebih teruk bila  berkawan dengan  Pas untuk kepentingan politik sehingga peristiwa Memali yang berpunca kepada fatwa mengkafir mahu disalahkan oleh pemimpin UMNO kepada UMNO sendiri.
Kefahaman agama Islam  yang sedang berkembang di Malaysia tidak lagi berkembang di atas formula keharmonian sebaliknya pendekatan sekarang menuju kearah polarisasi kaum dan agama, egocentric dan sempit, konservatif,pengasingan diri dan mengongkong pemikiran dan menggalakkan sikap menyerah.

Malangnya dalam menghadapi ancaman ini  ilmuan besar Islam  seperti Dr. Asyraf Dusuki  yang diharapkan akan membuka minda umat Islam Malaysia untuk melihat nilai dan kualti sebenar yang diperlukan  bagi survival dalam era globalisasi  telah turut hanyut di bawa oleh arus politik kepentingan diri.

IKIM sendiri telah tidak jelas dengan amanat yang diberikan oleh Tun Dr.Mahathir Perdana Menteri Malaysia tentang tujuan penubuhannnya malah siaran radionya lebih menjurus ke arah kejumudan berfikir dari menyuburkan dinamisme Islam.
Pandangan  Tan Sri Surin Pitsuwan yang berkelulusan Azhar dan merupakan seorang intelektual Islam Thai yang pernah menjadi Menteri Luar Thailand yang disiarkan dibawah ini sewajarnya mendapat perhatian dari pemimpin-pemimpin Islam dan juga cendiakawan Islam di negara ini untuk melihat kesesatan kita dari jalan yang telah disediakan untuk Melayu Islam Malaysia mempunyai nilai dalam masyarakat berbilang kaum dan di kalangan antarabangsa.
  
Bekas ketua Asean: Pendidikan terhad bentuk pemikiran cetek umat Islam

| September 2, 2017

Bekas setiausaha agung Asean, Surin Pitsuwan berkata, sehingga 1980-an, Islamisasi membawa makna nilai Islam yang baik, tetapi kini ia berubah kepada lebih banyak sekatan dan kurang toleransi.
KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha agung Asean, Tan Sri Dr Surin Pitsuwan berkata, bentuk pendidikan terhad dan terbatas membentuk pemikiran cetek di kalangan umat Islam.
“Terdapat penekanan terhadap mesej fundamentalis yang ia perlu ditafsir dalam satu cara dan tiada cara lain.
“Saya tidak fikir itu ialah semangat Islam. Semangat Islam ialah membenarkan individu dengan kebijaksanaan sendiri, membuat keputusan dalam sesetengah isu berdasarkan semangat Islam.”
Beliau berkata, apabila ditafsirkan betul-betul, iaitu pendekatan fundamentalis, wujud kecenderungan mengehadkan pemikiran dan ruang dalam interaksi dengan dunia.
“Dunia ialah ruang yang pelbagai. Semua orang ialah minoriti dalam dunia ini. Kita tidak hidup bersendirian di planet ini. Jika cara kita adalah satu-satunya jalan eksklusif daripada jalan lain, maka itu akan menjadikan kita sebuah pulau.
“Sebuah pulau yang tidak selamat dan kurang keyakinan untuk berinteraksi dengan dunia,” katanya kepada FMT.
Surin yang juga bekas menteri luar Thailand berada di Kuala Lumpur untuk Persidangan Serantau mengenai Demokrasi di Asia Tenggara, anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Yayasan Kofi Annan hari ini.
Beliau memberi amaran pemikiran itu akan mewujudkan keadaan saling tidak percaya dan kemungkinan berlaku ketidakstabilan di Malaysia serta negara lain.
“Dan itu bukan sahaja di Malaysia, tetapi mana-mana negara yang mempunyai komuniti berbilang kaum.
“Satu-satunya cara ialah toleransi, saling menghormati dan memberi ruang kepada satu sama lain untuk melaksanakan misi mereka bagi membentuk sebuah masyarakat baik.”
Katanya, rakyat perlu mematuhi undang-undang digubal kerajaan supaya semua dapat hidup dengan aman.
Pertumbuhan ekonomi
Beliau berkata, ekonomi negara bergantung kepada kestabilan politiknya.
“Tetapi, jika ruang politik terbatas dan tiada jaminan keselamatan, maka akan wujud implikasi terhadap ekonomi.
“Akhirnya, struktur politik perlu betul dan dengan adanya suasana sesuai, ekonomi akan terus berkembang. Tetapi, tanpanya pertumbuhan ekonomi akan terjejas.”
Beliau berkata, sehingga 1980-an, Islamisasi ialah perkataan baik di mana rakyat menggabungkan nilai dan norma Islam dalam setiap aspek kehidupan mereka, termasuk dalam pendidikan, pekerjaan dan pembangunan ekonomi.
Bagaimanapun, katanya, kini makna itu berubah menjadi lebih terhad, kurang toleransi dan merumitkan usaha mentadbir negara berbilang kaum seperti Malaysia dan negara lain di dunia Islam.
“Islamisasi serupa dengan politik perkauman yang bukannya mesej asas Islam. Islam perlu menjadi satu mesej muhibah dan rahmat bagi semua manusia.
“Kami (umat Islam) dalam bahaya untuk menjadi masyarakat yang hanya mementingkan diri, kurang toleransi dan tidak menghormati orang lain. Ini tidak baik untuk sesiapa pun.”
Surin berkata, pendidikan ialah tindak balas terhadap rasa tidak yakin untuk menjadi lebih “inward” dan kurang toleransi.
Katanya, selepas 3 hingga 4 dekad “perindustrian dan pembangunan sangat pesat, rakyat hilang kawalan ke atas kehidupan mereka. Mereka rasa tidak selamat dengan norma dan nilai tradisi serta kehidupan mereka terjejas.”
Sehubungan itu, katanya, ada keperluan untuk kembali kepada asas bagi mendidik rakyat menjadi relevan kepada masyarakat dengan melihat situasi itu dalam konteks proses pembangunan.

“Mereka perlu melihat kepada interaksi dengan komuniti Asean lain dan dunia.”(Free Malaysia Today)

– http://zamkata.blogspot.sg/

.