OPS LALANG MUNGKIN AKAN BERULANG, KATA SAMAD

TERDAPAT bayangan bahawa Ops Lalang akan berulang namun dengan nama yang berbeza, kata sasterawan negara A. Samad Said.

Samad berkata ia mungkin boleh berlaku esok kerana polis tidak membenarkan perhimpunan “Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Padang Timur.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) bagi mengumumkan pameran dan forum akan diadakan di KLSCAH pada 28 hingga 29 Oktober sempena 30 tahun Ops Lalang.

Program itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Hak Asasi KLSCAH, Suara Rakyat Malaysia, Teoh Beng Hock Trust for Democracy dan Pemuda KLSCAH.

“Saya kira apa yang kami akan aturkan di sini nanti untuk mengingatkan betapa buruknya Operasi Lalang yang telah berlaku.

“Jadi apa yang kami atur ini untuk mengimbas kembali kepada generasi muda, mengingatkan malah memberi amaran bahawa operasi seperti ini tidak harus dianjurkan, dan kerana itu kami telah mengaturkan beberapa rancangan yang dikira dapat menyedarkan orang ramai.”

Samad merujuk kepada penahanan besar-besaran pada Oktober 1987 yang mana 106 orang ditahan tanpa bicara dan kerajaan ketika itu di bawah pentadbiran Dr Mahathir berkata ia adalah untuk menghalang rusuhan kaum.

Menurut ahli akademik, Ops Lalang tercetus berikutan ketegangan etnik di Malaysia selepas Kementerian Pendidikan melantik 100 penolong kanan dan penyelia di sekolah rendah Cina.

Ia membawa kepada bantahan pada 11 Oktober, 1987 oleh Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (UCSCAM) atau Dong Jiao Zong, bersama MCA dan Gerakan menggesa untuk mengadakan boikot di sekolah Cina selama tiga hari.

Walaupun boikot itu kemudiannya dihentikan, Pemuda Umno yang diketuai Najib Razak, yang memegang jawatan menteri kebudayaan, belia dan sukan ketika itu, mengadakan protes balas di Kampung Baru pada 17 Oktober dan menggesa timbalan presiden MCA Lee Kim Sai meletakkan jawatan.

Sehari selepas penahanan itu, Kementerian Dalam Negeri kemudiannya menarik balik lesen penerbbitan empat akhbar – The Star, Sunday Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan.

Walaupun penerbitan akhbar terbabit sudah mendapat kembali lesen mereka pada 22 Mac 1988, aktivis media berkata kebebasan media tidak akan sama lagi.

– https://www.themalaysianinsight.com

.