OPERASI LALANG DISEBABKAN KETEGANGAN KAUM DICETUSKAN UMNO DAN MCA, KATA ANWAR

KETUA Umum PKR Anwar Ibrahim mendedahkan, penahanan sebegitu ramai pemimpin dan aktivis politik dalam Operasi Lalang pada 1987 berpunca dari ketegangan kaum yang dicetuskan Pemuda Umno dan MCA.

Anwar menjelaskan, kebanyakan daripada 106 pemimpin dan aktivis politik yang ditahan mengikut ISA itu tidak terlibat dalam mencetuskan ketegangan antara kaum pada ketika itu.

“Yang menjadi sebab kepada berlakunya Operasi Lalang pada 1987 ialah pertembungan antara Pemuda Umno dan MCA sehingga menyebabkan ketegangan kaum.

“Pada ketika itu Najib Razak merupakan ketua Pemuda Umno dan MCA pula diketuai Lee Kim Sai,” kata Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Anwar merupakan saksi yang dipanggil hari ini dalam kes saman yang difailkan oleh Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah terhadap ketua gerakan Baju Merah Jamal Yunos.

Maria memfailkan saman terhadap Jamal kerana menuduh Bersih mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS.

Muhammed Nasser yang mewakili Jamal menyoal Anwar mengenai sebab penahanan suami Maria, Yunus Ali mengikut ISA pada 1987.

Anwar juga berkata, beliau yang merupakan menteri pelajaran dan naib presiden Umno pada waktu itu turut merayu kepada perdana menteri untuk melepaskan tahanan ISA tertentu.

“Selepas penahanan dilakukan, pada hari Ahad, saya pergi ke rumah perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Seri Perdana dan merayu agar mereka yang tidak berkenaan dibebaskan,”

Anwar berkata, bekas menteri kewangan waktu itu Daim Zainuddin merupakan saksi beliau ke rumah Dr Mahathir meminta tahanan Operasi Lalang dibebaskan.

“Saya minta Dr Mahathir bebaskan yang tidak terlibat.

“Dr Mahathir kata, ‘Anwar urusan keselamatan ini urusan keselamatan negara, lebih baik kita serahkan kepada polis dan cawangan khas’,” kata Anwar.

Dr Mahathir juga merupakan menteri dalam negeri pada ketika itu.

Menurut Anwar selepas beliau merayu kepada Dr Mahathir, beberapa orang tahanan seperti aktivis sosial Dr Chandra Muzafar dan bekas ketua pengarang kumpulan Berita Harian Ahmad Sebi dibebaskan selepas 60 hari dalam tahanan.

Sementara itu, tahanan lain termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dihantar ke Kem Tahanan Kamunting di Taiping untuk menjalani tahanan selama dua tahun.

Turut dihantar ke pusat tahanan itu ialah Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar, Penasihat Suaram Kua Kia Soong, katanya.

Anwar turut memberitahu mahkamah, beliau juga bergiat dengan Yunus dalam gerakan pelajar sewaktu menuntut di Universiti Malaya pada 1970-an dengan memperjuangkan kemiskinan penduduk luar bandar.

Pada kemuncaknya, mereka bersama seorang lagi aktivis pelajar waktu itu, Hishamuddin Rais menganjurkan demonstrasi di Kuala Lumpur pada 3 Disember 1974.

Katanya, selepas demonstrasi pada 3 Disember itu, kerajaan mengambil tindakan terhadap mahasiswa termasuk menggunakan ISA.

Dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight tahun lalu Dr Mahathir berkata, pada 1987 beliau memberitahu polis agar tidak menahan pemimpin politik dan aktivis ini tetapi arahannya tidak didengar.

“Saya tidak bersetuju. Saya minta polis patut terima, kita mesti hapuskan ISA.

“Polis tak bersetuju. Saya, tertakluk kepada nasihat keselamatan daripada polis. Saya tak boleh lawan dengan polis,” kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu itu dalam wawancara bersama The Malaysian Insight.

Bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor dalam wawancara bersama The Malaysian Insight mengesahkan keputusan melaksanakan Operasi Lalang merupakan keputusan polis dan bukannya Dr Mahathir.

Rahim yang merupakan pengarah Cawangan Khas pada ketika itu berkata, pertumpahan darah mungkin berlaku jika polis tidak meneruskan Operasi Lalang dan menahan 106 orang yang dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

– https://www.themalaysianinsight.com

.