OKTOBERFEST: PAS DIINGAT JANGAN JADI HERO

SHAH ALAM – Jangan jadi hero dalam isu membabitkan pesta arak, Oktoberfest, sebaliknya fokus bagaimana untuk mengekang masalah Aids dan masalah sosial yang tinggi di negeri itu berbanding Selangor.

Itu peringatan Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim kepada Pas Kelantan yang didakwa mempolitikkan isu itu.

Beliau berkata, Pas khususnya dari luar Selangor diminta menjaga tempat sendiri terlebih dahulu sebelum menjaga tepi kain negeri lain.

“Saya ingatkan Pas jangan jadi hero, khususnya Pas dari luar selangor, jagalah tempat sendiri! Di Kelantan kadar aids dan kadar sosial jauh lebih tinggi dari Selangor, jadi jaga tempat sendiri dahulu.

“Kenapa pemimpin Pas ini melompat macam mabuk, saya yang minum kenapa dia yang mabuk? Jadi jangan jadikan isu ini sebagai isu politik. Jaga juga sensitiviti kaum bukan Islam,” katanya kepada pemberita pada sidang media di SUK, di sini hari ini.

Beliau yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan berkata, Oktoberfest hanya membabitkan orang bukan Islam.

“Ini hak orang bukan Islam, hormatilah orang bukan Islam. Majlis ini tak jemput orang Islam malah orang Islam dilarang hadir sama sekali.

“Seperti orang yang ambil dadah, dia bermula dengan merokok, kenapa Pas tak jalankan kempen untuk mengharamkan rokok di kelantan? Orang Pas pun hisap rokok sedangkan itu langkah pertama ke arah penagihan dadah,” katanya.

Menurutnya, lagipun ada fatwa mengharamkan rokok tetapi terdapat ramai juga orang Pas yang menghisap rokok.

“Itu sudah terang-terang bercanggah, fatwa pun dia tak ikut… macamana?,” soalnya.

Pada masa sama, beliau turut menyifatkan Umno Selangor sebagai munafik.

“Kenapa Umno bantah ia diadakan di Selangor sedangkan di Melaka yang ditadbir Umno/BN sudah meluluskan penganjuran tersebut.

“Ini munafik namanya, Umno diminta jaga negeri sendiri terlebih dahulu sebelum sibuk hal negeri lain tambahan lagi sekarang Sarawak pun nak buat juga, patut Umno pergi tegur Kerajaan Sarawak,” katanya.

Oktoberfest anjuran Carlsberg Malaysia bermula sejak 24 September lalu di RP, Saujana Hotel Subang, diikuti di Berjaya Time Square Hotel, Brussels Setia Walk, Puchong, I Beam Batu Pahat, Johor, Deutsches Gasthaus, Kepong, Kuala Lumpur, Hakka Restaurant Kuala Lumpur, Movida, Sunway Giza, Petaling Jaya dan Euro Deli, Pulau Pinang.

Kemuncak pesta itu dijangka diadakan pada 10 hingga 12 Oktober ini di tempat letak kereta, One Utama Petaling Jaya.

– Sinar Harian

.