‘OH TIDAK, SAYA TAK REKA PAKAIAN ITU…’

Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar menjelaskan bukan baginda yang mereka pakaian puteri Johor Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan.

“Oh, tidak, saya tidak reka pakaian itu, saya cuma reka kain yang ditenun oleh Penjana Penor, Tunku Azizah yang reka baju kurung itu,” tulis baginda di Twitter awal pagi tadi.

Baginda juga memuatkan laporan tidak tepat sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris yang melaporkannya sebagai pereka baju yang dipakai Tunku Aminah ketika istiadat persandingan diraja sebelum ini.

Laporan itu tersalah faham terhadap Twitter Tunku Azizah kelmarin yang berbunyi:

“Di perkahwinan anak saudara saya, Tunku Tun Aminah memakai baju yang dibuat daripada Tenun Pahang diraja, rekaan saya, ditenun oleh banduan Penjara Penor.”

Baginda juga dalam tweet yang lain berkata apa yang dilakukan oleh Tunku Aminah itu satu penghormatan bagi dirinya.

Menurut laman web Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang yang mengelolakan Kompleks Pengembangan Tenun Pahang Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, Tenun Pahang Diraja dihasilkan secara tradisional dengan mengekalkan kehalusan seni.

Menurut perbadanan itu lagi, ia sentiasa mendapat perhatian penggemar dalam dan luar negara.

Walaupun sudah digunakan dalam fesyen moden, kain itu biasanya digunakan untuk kain sarong, sampin dan selendang dan biasanya dipakai dalam majlis rasmi kerajaan, perkahwinan dan adat istiadat diraja.

Fabrik eksklusif

Kain Tenun Pahang yang dipercayai berasal dari Riau atau Sulawesi itu dibawa ke Pahang pada abad ke-16 oleh pembesar Bugis yang dikenali sebagai Tuk Tuan (Keraing Aji).

Dilaporkan kira-kira 200 banduan di penjara Bentong dan Penor di Pahang terlibat dalam penenunan fabrik eksklusif itu.

Tunku Azizah terkenal sering melawat penjara Penor dan mendukung usaha itu.

Isu pakaian Tunku Aminah turut mendapat kritikan, yang kemudian dijawab oleh Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

 

Titah Raja Zarith, Nabi Muhammad tidak mengajar kita menilai atau menghukum orang daripada zahir sebaliknya berdasarkan hati.

Raja Zarith tidak menyebut apa sebenarnya kritikan itu. Namun terdapat pengguna maya berkata Tunku Aminah tidak menutup aurat kerana tidak bertudung.

Bagi istiadat pertunangan, akad nikah dan persandingan Tunku Tun Aminah dan suami mengenakan busana tradisional Johor, baju kurung Teluk Belanga dan baju melayu Teluk Belanga yang berwarna putih.

Untuk majlis bersiram yang diadakan pada Selasa pula, Tunku Tun Aminah dan Dennis mengenakan baju Melayu dan baju kurung Teluk Belanga berwarna biru muda.

Tunku Tun Aminah sah menjadi isteri kepada jejaka Belanda Dennis Muhammad Abdullah pada Isnin lalu.

– M’kini

.