OH, DULU GELAR NAJIB ‘LANUN BUGIS’

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menggelar presiden Umno Datuk Seri Najib Razak sebagai “lanun Bugis” tahun lepas, tidak ada pun rasa bersalah beliau menghina susur galur keturunan orang lain.

Selepas keturunan beliau dibangkitkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tahu pula Tun Mahathir melatah dan rasa terhina.

Yang utama bukan soal bin atau anak lelaki siapa, keturunan apa dan sebagainya tetapi persoalannya adalah kesan sesuatu siri tindakan kepada orang Melayu dan sejauh mana individu tersebut memikirkan nasib bangsanya.

Dalam konteks itulah kita harus melihat kenyataan Datuk Seri Zahid baru-baru ini bahawa Tun Mahathir mempergunakan orang Melayu. Malah semakin banyak “U turn” Tun Mahathir, semakin ramai orang dalam dan luar Umno meragui keikhlasan pendiriannya pada dekad-dekad pemerintahannya.

Semua pemimpin ada jasa mereka sendiri tetapi tindakan Tun sejak kebelakangan ini lebih banyak memecahbelahkan orang Melayu daripada menyatupadukan.

Datuk Seri Zahid konsisten mempertahankan parti dan presiden daripada serangan lawan termasuklah seperti Tun Mahathir kerana Datuk Seri Zahid adalah seorang yang setia kepada perjuangan dan kepimpinan tertinggi Umno sebagai wadah utama perjuangan politik Melayu.

Bandingkan pula dengan Tun yang keluar daripada Umno sebanyak dua kali hanya semata-mata kemahuan dan kehendak peribadinya tidak dituruti.

Tun terkenal mengungkapkan “Melayu mudah lupa” tetapi tidak ramai yang lupa bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada tahun 1998 dan kini Tun Mahathir kembali bersama-sama orang yang beliau pecat dalam usaha memecahbelahkan Melayu melalui parti barunya.

Tidak cukup dengan itu, atas agenda dan kepentingan peribadi, Tun Mahathir sanggup bersekongkol dengan parti pembangkang terutamanya DAP dan pemimpin-pemimpinnya yang selama ini menjadi musuh ketat beliau untuk menjatuhkan kepimpinan.

Saya percaya bahawa cubaan Tun Mahathir menjadikan isu ini sebagai isu perkauman adalah kerana beliau sedar nostalgia orang Melayu terhadapnya semakin pudar.

Saya yakin seluruh kepimpinan dan ahli Umno tetap setia di belakang Datuk Seri Najib selaku presiden parti dan akan bersama-sama Datuk Seri Zahid serta kepimpinan lain terus mempertahankan parti dan presiden daripada apa jua jenis serangan pihak pembangkang termasuklah Tun Mahathir.

– Malay Mail

.