NURUL NUHA YANG PERLU DICONTOHI

Sesuai dengan keinginan banyak pihak agar isu maaf antara Tun Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim tidak lagi diungkit dan diperbesarkan, perkara tersebutlah yang kini diambil secara positif oleh keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Nurul Nuha Anwar yang sebelum ini mahu Tun Mahathir memohon maaf secara terbuka kepada bapanya berhubung peristiwa 1998, akhirnya turut sama-sama menyedari bahawa isu berkaitan negara lebih penting untuk diberi perhatian.

Kata beliau, isu maaf itu tidak perlu diungkit lagi kerana yang penting ialah semua pihak harus bergerak ke hadapan bersama-sama agenda reformasi yang sudah dipersetujui antara bapanya dengan Tun Mahathir.

Meskipun tidak mudah, semua pihak tentunya amat menghargai dan menyanjung tinggi pendirian ahli keluarga Anwar itu.

Selagi Najib ada dan BN memegang kuasa, semua pihak seharusnya sama-sama berjiwa besar dan menyedari bahawa tidak ada perkara yang lebih penting untuk digembleng selain berpadu tenaga menyingkirkan mereka itu.

Tiada makna dengan hanya mengatakan ingin perubahan dan mahu menumbangkan BN, tetapi sekelumit jiwa besar seperti keluarga Anwar pun tidak dimiliki.

Mohon terasa kepada mereka yang tidak henti-henti berbalah dan menghalakan peluru kepada sesama sendiri berbanding melemahkan musuh sebenar yang perlu dikalahkan. –¬†http://shahbudindotcom.blogspot.my/