NURUL IZZAH, PENDAMAI DI ANTARA AYAHNYA DAN DR MAHATHIR

ANAK perempuan Anwar Ibrahim. Pemimpin pembangkang. Dan kini pendamai antara dua ahli politik Malaysia paling terkenal.

Pengumuman Jumaat mengenai kepimpinan Pakatan Harapan (PH) adalah kemuncak adegan rundingan berbulan lamanya mengenai beberapa isu, khususnya bagi merapatkan jurang antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar.

Di sinilah Nurul Izzah Anwar memainkan peranan utama membantu dua musuh politik sejak hampir 20 tahun itu mengenepikan ego masing-masing bagi tujuan lebih besar.

Tugas mendamaikan kedua-duanya jatuh pada bahu anak perempuan Anwar yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah.

Puteri sulung Anwar itu mengambil tanggungjawab untuk bertemu Dr Mahathir di London bagi membincangkan isu ini dan perkara lain melibatkan kepimpinan PH.

Objektif utamanya ialah untuk menyelesaikan semua isu tertangguh dan memastikan pertelagahan mengenai senarai kepimpinan dapat diselesaikan sebelum dihantar ke Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Keutamaan saya ialah untuk memperkukuhkan kerjasama di antara Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir.

“Supaya perdamaian di antara kedua-dua tokoh itu benar-benar berlaku.

“Ini kita dapat lihat dengan pengumuman mengenai senarai kepimpinan PH yang diumumkan awal pagi tadi,” kata Nurul Izzah kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, pertemuan secara tidak formal dengan Dr Mahathir untuk memastikan PH dapat terus bergerak sebagai satu gabungan bagi memastikan rakyat dapat dibela daripada kerajaan kleptokrat.

“Dengan menggunakan semangat Aidilfitri, struktur kepimpinan PH itu perlu diselesaikan segera demi kepentingan rakyat.

“Dr Mahathir juga komited dengan agenda untuk mereformasikan negara seperti yang diumumkan beliau semalam,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Nurul Izzah menambah, bagi memastikan PH berjaya, semua pemimpin utama gabungan itu perlu melakukan pengorbanan peribadi bagi memastikan kemenangan dalam PRU14.

Sidang media tertangguh

Sidang media yang seharusnya dimulakan pada pukul 9.30 malam Khamis itu akhirnya tertangguh sehingga awal pagi Jumaat.

Bagaimanapun, selepas ia bermula suasana menjadi ceria dengan gelak dan tawa pimpinan PH.

“Tuan-tuan dan puan-puan daripada golongan media, saya ingin menyatakan yang keempat-empat parti ini mengadakan mesyuarat yang panjang, mengambil masa lima jam.

“Walaupun demikian, kita amat gembira kerana kita dapat membuat keputusan iaitu PH yang mengandungi empat parti ini sudah bersetuju berkenaan dengan struktur dengan menentukan sususan kepimpinan,” kata Dr Mahathir ketika memulakan sidang media.

PH terdiri daripada Bersatu, PKR, Amanah dan DAP.

Pada sidang media itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu antara lainnya mengumumkan beberapa agenda gabungan itu sekiranya PH menawan Putrajaya seperti menghadkan perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal.

Apa berlaku semasa mesyuarat?

Sumber PH memberitahu The Malaysian Insight di antara punca mesyuarat itu berlangsung sehingga empat jam ialah kerana Dr Mahathir membenarkan semua pihak memberikan pandangan.

“Walaupun sebelum ini orang kata Dr Mahathir diktator, tapi semua terkejut apabila selepas semua wakil bercakap, Dr Mahathir kata selepas 14 orang bercakap, kita kena ada keputusan.

“Tidak ada orang yang kira berapa orang sudah berucap. Maksudnya Dr Mahathir benar-benar mendengar setiap ucapan pemimpin PH bagi memastikan semua pihak berpuas hati,” kata sumber itu dengan syarat tidak dinamakan.

Satu lagi sumber memberitahu, mesyuarat menjadi panjang kerana PKR mahukan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali turut berada dalam senarai timbalan presiden PH.

“PKR percaya populariti Azmin mampu menguatkan lagi PH tetapi ada pihak yang bantah.

“Oleh kerana kita mahukan isu struktur ini diselesaikan juga, mereka akhirnya mengalah,” kata sumber itu.

Jawatan timbalan presiden PH terdiri daripada ketua setiap parti seperti Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir memberitahu The Malaysian Insight mesyuarat malam tadi menjadi panjang kerana terdapat pelbagai isu dibincangkan seperti struktur, logo dan beberapa perkara berbangkit.

“Kita masuk mesyuarat malam tadi dengan satu ketetapan tidak akan pulang selagi semuanya tidak selesai.

“Kita tidak mahu tangguh lagi,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hitam itu.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.